GEORGE TOWN – Dua individu cedera selepas sebuah kereta jenis BMW 520-D terbabas sebelum melanggar sebatang pokok dalam kemalangan jalan raya berhampiran Straits Quay Marina Mall, Jalan Seri Tanjung Pinang, Tanjong Tokong, di sini, pada Rabu.Dalam kejadian kira-kira jam 2.42 petang itu, mangsa terdiri daripada seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun dan seorang wanita warga Indonesia berusia 31 tahun yang merupakan pemandu dan penumpang kenderaan berkenaan.Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.42 petang sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal digerakkan ke lokasi kejadian."Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 2.49 petang dan mendapati sebuah kereta BMW 520-D telah terbabas dan melanggar pokok di bahu jalan."Kedua-dua mangsa didapati tidak tersepit dan telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.Menurutnya, komander operasi menjalankan penilaian awal (‘size up’) dengan pemakaian kelengkapan perlindungan diri (PPE) lengkap sebelum memberi rawatan awal kepada mangsa."Kedua-dua mangsa kemudiannya diserahkan kepada ambulans swasta untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.Beliau berkata, pasukan bomba turut menjalankan kerja-kerja pembersihan jalan termasuk membersihkan tumpahan minyak bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya."Operasi berjaya dikawal pada jam 3.04 petang dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.20 petang," katanya."Operasi melibatkan lapan anggota termasuk penyelia dengan kekuatan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan Hilux," ujarnya.Kata beliau lagi, turut berada di lokasi kejadian ialah polis dan pasukan Medic First Responder bagi membantu operasi menyelamat dan pengurusan mangsa.Ends.