SHAH ALAM - Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mas Ermieyati Samsudin menegaskan keputusannya untuk tidak meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka dan Ketua Wanita PN Pusat.Mas Ermieyati berkata, pendirian itu dibuat berlandaskan pertimbangan tanggungjawab kepimpinan, kestabilan organisasi dan kepentingan perjuangan PN di peringkat negeri, bukan semata-mata untuk mempertahankan jawatan atau kuasa.Ujarnya, hubungan antara kepimpinan PN Melaka, khususnya bersama Pesuruhjaya Pas Negeri Melaka, Zulkifli Ismail dan seluruh komponen parti berada dalam keadaan baik dan harmoni, tanpa sebarang konflik dalaman."Selain itu, PN Melaka kini sedang berada dalam fasa persiapan penting bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung dalam tempoh empat hingga enam bulan akan datang."Kesinambungan dan kerjasama erat kepimpinan amat penting bagi memastikan gerak kerja, penyusunan jentera dan strategi dapat berjalan dengan tersusun serta berkesan," katanya dalam hantaran di Facebook pada Rabu.Pada Selasa, Muhyiddin dalam menyataan melepaskan jawatan Pengerusi PN berkuat kuasa pada 1 Januari dan diikuti kepimpinan negeri termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selaku Pengerusi PN Selangor dan Setiausaha Agung PN.Tiga lagi Pengerusi PN negeri yang mengambil langkah sama ialah Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Perak), Datuk Dr Sahruddin Jamal (Johor) dan Mohamad Hanifah Abu Baker (Negeri Sembilan).Mas Ermieyati turut menolak dakwaan bahawa pelantikan Pengerusi PN Negeri dan jawatan-jawatan lain terbatal secara automatik susulan peletakan jawatan Pengerusi PN Pusat.Ahli Parlimen Masjid Tanah itu berkata, pelantikan semua jawatan dalam PN dibuat melalui keputusan bersama dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN."Saya percaya sepenuhnya bahawa segala keputusan penting wajar diserahkan kepada kebijaksanaan Mesyuarat Tertinggi PN yang akan diadakan dalam masa terdekat termasuk soal pelantikan pengerusi baharu, hala tuju kepimpinan dan penstrukturan semula."Saya sendiri bersedia untuk melepaskan kedua-dua jawatan iaitu Pengerusi PN Melaka dan Ketua Wanita PN Pusat sekiranya itu merupakan keputusan bersama yang dibuat secara matang dan berlandaskan kepentingan parti dan gabungan," ujarnya.Beliau juga menasihatkan semua pihak agar menghentikan polemik terbuka di media sosial melibatkan hubungan antara Bersatu dan Pas, khususnya berkaitan isu pertukaran Menteri Besar Perlis."Polemik sebegini tidak membawa manfaat kepada parti mahupun gabungan, malah hanya mengundang kekeliruan dan persepsi negatif dalam kalangan rakyat."Hubungan antara Pas dan Bersatu yang terjalin sejak penubuhan Bersatu hampir lima tahun lalu adalah hubungan adik-beradik dalam perjuangan."Seperti mana-mana hubungan, pasti ada perbezaan pandangan. Namun saya percaya, dengan kebijaksanaan kepimpinan baharu dan keikhlasan semua pihak, segala perselisihan ini mampu dipulihkan," kata beliau.