KWSP naikkan had pengeluaran haji kepada RM10,000

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan peningkatan ketara had Pengeluaran Haji daripada RM3,000 kepada RM10,000 daripada Akaun Sejahtera, berkuat kuasa mulai esok, sebagai antara penambahbaikan utama dasar dan produk institusi itu.KWSP dalam kenyataan memaklumkan, langkah berkenaan bertujuan membantu ahli yang menerima tawaran menunaikan ibadah haji supaya dapat membuat persediaan kewangan dengan lebih selesa dan terancang.Menurut kenyataan itu, keperluan untuk mengesahkan baki simpanan Tabung Haji ahli bagi menentukan amaun kelayakan pengeluaran turut dimansuhkan, sekali gus mempermudah proses permohonan serta mempercepatkan perancangan ibadah berkenaan.Penambahbaikan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif di bawah Belanjawan 2026 yang diumumkan pada 10 Oktober 2025 dan mencerminkan komitmen berterusan KWSP dalam memperkukuh simpanan persaraan, meluaskan perlindungan sosial serta meningkatkan pengalaman keseluruhan ahli.Selain Pengeluaran Haji, KWSP turut memperkenalkan i-Saraan Plus, iaitu kemudahan caruman sukarela khusus untuk pemandu e-panggilan dan p-panggilan, dengan insentif padanan kerajaan lebih tinggi sehingga RM600 setahun, tertakluk kepada had seumur hidup RM6,000.KWSP memaklumkan, pemandu yang layak akan didaftarkan sebagai ahli melalui penyedia platform yang mengambil bahagian, selain membolehkan potongan caruman dibuat mengikut kadar yang ditentukan sendiri oleh pemandu.Dalam perkembangan berkaitan, umur kelayakan skim i-Suri akan dinaikkan daripada 55 kepada 60 tahun selaras dengan umur persaraan minimum negara, manakala insentif padanan kerajaan diteruskan pada kadar 50 peratus daripada caruman tahunan, tertakluk kepada had RM300 setahun dan RM3,000 seumur hidup.KWSP turut mengumumkan pelaksanaan Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA) mulai esok, yang menetapkan tiga tahap simpanan sebagai panduan perancangan persaraan, iaitu Simpanan Asas RM390,000, Simpanan Mencukupi RM650,000 dan Simpanan Dipertingkatkan RM1.3 juta.Seiring tahap Simpanan Dipertingkatkan, dasar Pengeluaran Melebihi RM1 juta akan ditambah baik bagi membolehkan ahli berumur di bawah 55 tahun mengurus lebihan simpanan, dengan pelaksanaan secara berperingkat melalui kenaikan had RM100,000 setahun selama tiga tahun bermula RM1.1 juta pada 2026.Selain itu, kelayakan Skim Pelaburan Ahli (SPA) akan diselaraskan berdasarkan tahap Simpanan Asas melalui pelaksanaan berperingkat kuantum simpanan minimum bagi memastikan lebihan simpanan yang dilaburkan tidak menjejaskan keperluan asas persaraan ahli.Dalam usaha menggalakkan simpanan sukarela, KWSP turut memperkenalkan penjenamaan baharu iaitu i-Simpan bagi Caruman Pilihan Sendiri dan i-Topup bagi Caruman Melebihi Kadar Berkanun, melengkapkan kemudahan sedia ada seperti i-Saraan, i-Sayang dan i-Suri.Maklumat lanjut berkaitan inisiatif berkenaan boleh dirujuk melalui soalan lazim di laman web rasmi KWSP. – Bernama