SHAH ALAM - Pas dan Perikatan Nasional (PN) diingatkan supaya tidak mengulangi kesilapan sejarah yang berlaku selepas kejayaan besar Pas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 1999 yang akhirnya membawa kepada kemerosotan sokongan dalam PRU 2004.Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata, pada PRU 1999 Pas berjaya memenangi 27 kerusi Parlimen berbanding hanya tujuh kerusi pada PRU 1995."Keputusan itu berpunca daripada fenomena Malay revolt terhadap Barisan Nasional (BN) susulan pemecatan dan pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim."Gelombang penolakan orang Melayu terhadap Barisan Nasional (BN) ketika itu menyebabkan Pas bukan sahaja mengekalkan Kelantan, malah berjaya menawan Terengganu dan hampir menguasai Kedah."Selain itu, turut memperluaskan pengaruh di negeri-negeri Pantai Barat melalui kerjasama Barisan Alternatif (BA) bersama Parti Keadilan Nasional (kini PKR) dan DAP."Penyertaan Pas dalam BA membolehkan parti itu membuat penembusan pilihan raya di Perak dan Selangor, kawasan yang sebelum itu sukar ditembusi," katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada Rabu.Bagaimanapun beliau berkata, keterujaan Pas ketika itu tidak kekal lama apabila pengumuman Dokumen Negara Islam oleh Tan Sri Abdul Hadi Awang menyebabkan DAP keluar daripada BA pada 2001, sekali gus meruntuhkan gabungan tersebut."Dalam PRU 2004, Pas tewas di Terengganu, hampir kalah di Kelantan dan jumlah kerusi Parlimen susut kembali kepada tujuh sahaja," katanya.Mengulas situasi semasa, Marzuki berkata, Pas kini dilihat sedang melalui ‘trajectory’ yang hampir sama apabila kejayaan besar parti itu dalam PRU15 sebahagian besarnya berpunca daripada penyertaan dalam PN yang dipimpin Muhyiddin.Namun ujarnya, tindakan Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden mendesak Muhyiddin berundur hanya kerana beliau menjunjung titah Raja Perlis dalam isu pelantikan Menteri Besar Perlis menimbulkan persoalan besar mengenai hala tuju PN."Isu Perlis yang berpunca daripada kegagalan Pas menyelesaikan masalah dalaman partinya sendiri telah diletakkan sepenuhnya di atas bahu Tan Sri Muhyiddin dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)," ujarnya.Beliau turut mempersoalkan konsistensi Pas apabila menuntut jawatan Pengerusi PN, sedangkan Abdul Hadi sebelum ini mengeluarkan pandangan bahawa jawatan tidak wajar diberikan kepada individu yang menuntutnya.Marzuki berkata, walaupun ada pihak melihat peletakan jawatan Muhyiddin sebagai proses pengukuhan PN, persoalan sebenar ialah sama ada gabungan itu sedang mengukuh atau sebaliknya sedang 'membunuh angsa yang bertelur emas'."Pimpinan PN digesa melakukan muhasabah secara rasional dan objektif serta tidak dipandu emosi agar pengalaman buruk Barisan Alternatif pada PRU 2004 tidak berulang dalam pilihan raya akan datang," katanya.Mengulas prospek PN menjelang PRU16, Marzuki menyenaraikan tiga prasyarat utama yang perlu dipenuhi gabungan itu untuk membentuk kerajaan."Pertama, PN perlu memperoleh sokongan Melayu antara 80 hingga 85 peratus dengan menumpukan strategi menarik penyokong UMNO untuk mengundi PN memandangkan UMNO adalah pesaing utama dalam perebutan undi Melayu."Kedua, PN perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 15 hingga 20 peratus sokongan bukan Melayu kerana pergantungan sepenuhnya kepada undi Melayu akan menyukarkan kemenangan di kerusi majoriti kecil Melayu."Manakala ketiga, PN perlu sokongan parti-parti dari Sabah dan Sarawak kerana kemenangan besar di Semenanjung sahaja tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan Persekutuan," ujarnya.