KFA, Mukhriz, dua individu diarah bayar lebih RM500,000 kepada KWSP

ALOR SETAR - Mahkamah Tinggi di sini mengarahkan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Bekas Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, serta dua lagi individu membayar lebih RM500,000 kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana gagal menjelaskan caruman beberapa pemain.Hakim Johan Lee memutuskan bahawa plaintif, KWSP, berjaya membuktikan kes terhadap keempat-empat defendan berdasarkan imbangan kebarangkalian."Keempat-empat defendan bertanggungjawab secara bersama dan berasingan kepada plaintif bagi jumlah RM503,681 yang mewakili baki tertunggak caruman KWSP," katanya dalam penghakiman bertulis setebal 36 muka surat yang dimuat naik di laman web badan kehakiman pada Rabu.Hakim Johan Lee turut mengarahkan defendan membayar dividen statutori ke atas baki tertunggak itu pada kadar 5 peratus setahun bermula 1 Januari 2019 sehingga bayaran penuh jumlah penghakiman dibuat.Defendan juga dipertanggungjawabkan untuk membayar caj bayaran lewat yang dikira pada kadar 6 peratus setahun bermula 1 Januari 2019 menurut Seksyen 46(1) Akta KWSP 1991.Hakim berkata, tidak dipertikaikan bahawa Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah ketika itu, Setiausaha Kehormat, Anas Hafiz Mustaffa dan Ahli Jawatankuasa, Asmirul Anuar Aris merupakan pemegang jawatan sepanjang tempoh kegagalan tersebut, seperti yang dibuktikan melalui rekod korporat dan rekod KFA yang dikemukakan sebagai bahan bukti.Dalam penghakimannya, Hakim Johan Lee menolak hujahan defendan bahawa KWSP bersikap selektif dalam menamakan ketiga-tiga individu itu sebagai defendan, sambil menegaskan bahawa badan berkanun tersebut berhak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana atau semua pemegang jawatan.Tindakan saman itu dihentikan terhadap lima lagi pemegang jawatan iaitu Abdul Rahman Abdullah, Khamal Idris Ali, Yusuri Yusof, Shahrul Samsudin dan Ruzaini Radzi selepas mereka membayar lebih RM1 juta.KWSP memfailkan tindakan tersebut selepas KFA, sebagai majikan, gagal menjelaskan caruman bulanan untuk pemain-pemainnya selaras dengan peruntukan Akta KWSP 1991.Menurut KWSP, jumlah prinsipal caruman yang tidak dibayar mencecah RM1,519,801.Peguam Abd Shukor Ahmad, Aaron Aiman Thangarajoo dan Michelle Liew mewakili KWSP, manakala Ahmad Taufiq Baharum mewakili KFA.Peguam Mior Haidir Suhaimi mewakili Mukhriz, Anas Hafiz Mustaffa dan Asmirul Anuar Aris.