Kemelut dalaman PN antara punca Muhyiddin letak jawatan - Noh Omar

MELAKA – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Noh Omar tidak menafikan kemelut dalaman Perikatan Nasional (PN) antara faktor yang mendorong Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai pengerusi gabungan itu.Noh yang juga bekas Pengerusi UMNO Selangor, bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut dan meminta supaya jawapan berhubung isu itu diperoleh terus daripada Muhyiddin sendiri.Beliau berpandangan keputusan yang dibuat oleh Presiden Bersatu itu adalah atas pertimbangan kepentingan gabungan secara keseluruhan."Saya nampak beliau meletakkan jawatan apabila berlaku sedikit kemelut dalaman dalam PN."Oleh kerana beliau lebih mementingkan PN, maka beliau mengambil keputusan untuk berundur sebagai pengerusi," katanya mengulas pengumuman Muhyiddin yang berundur daripada jawatan itu.Beliau ditemui pada Majlis Pelancaran Pusat Khidmat NGO Muafakat Nasional (MN) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Durian Tunggal pada Rabu.Turut hadir ialah Pengerusi MN Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Pesuruhjaya Pas Melaka, Zulkifli Ismail.Noh berkata, tindakan Muhyiddin itu menunjukkan beliau seorang pemimpin yang berjiwa besar dan sanggup berkorban demi kestabilan parti."Saya secara peribadi melihat beliau sebagai seorang pemimpin yang berjiwa besar dan selama ini berjuang bukan kerana diri sendiri tetapi kerana hati."Saya ambil contoh, sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri, pihak yang menjatuhkannya ialah UMNO, namun beliau tetap berjiwa besar apabila menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob daripada UMNO untuk menggantikan beliau," katanya.Noh pada masa yakin PN akan terus mempunyai kesinambungan dalam perjuangan politik."Pemimpin datang dan pergi, tetapi perjuangan parti mesti diteruskan," katanya.