NIBONG TEBAL - Seorang lelaki yang cedera selepas diserang sekumpulan individu bersenjatakan objek tajam di sebuah restoran di Sungai Bakap, di sini pada Selasa dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, mangsa berusia 30-an itu dirawat di Hospital Seberang Jaya akibat cedera parah di beberapa bahagian badan manakala seorang lagi lelaki yang cedera dirawat di Hospital Sungai Bakap dan dilaporkan stabil."Siasatan awal polis mendapati mereka bersama mangsa yang maut sedang minum bersama di restoran itu sebelum tiba-tiba diserang 15 lelaki bertopeng dan setakat ini kami telah menahan dua suspek bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.Beliau berkata, dua lelaki masing-masing berusia 24 serta 36 tahun itu direman tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan baki mereka yang terlibat dalam kejadian itu giat dijalankan.Insiden pada 4.30 petang itu menyaksikan sekumpulan lelaki bersenjatakan parang menyerang mangsa selepas dikatakan tidak berpuas hati mengenai masalah hutang, dan lelaki berusia 59 tahun yang cedera parah akibat tetakan di bahagian kepala disahkan meninggal dunia manakala dua lagi, yang juga cedera parah, dihantar ke Hospital Sungai Bakap.Beberapa video telah tular di media sosial memaparkan mangsa yang cedera akibat serangan itu termasuk seorang dalam keadaan kritikal. - Bernama