Padah maki, ludah polis, wanita tempatan ditahan

ALOR SETAR - Seorang wanita ditahan selepas dikatakan memaki hamun dan meludah anggota polis dalam kejadian di Mergong di sini pada Selasa.Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, Pusat Kawalan Daerah Kota Setar menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 1.11 tengah hari memaklumkan wanita dipercayai kurang siuman telah menumbuk seorang pekerja di sebuah syarikat di kawasan berkenaan.Menurutnya, susulan maklumat itu, dua anggota polis menaiki kenderaan MPV telah diarahkan ke lokasi bagi memberikan bantuan dan mengawal keadaan."Setibanya di lokasi, anggota mendapati suspek berumur 34 tahun merupakan seorang wanita tempatan dikesan membuat kacau dan mengganggu ketenteraman awam."Anggota polis kemudian memperkenalkan diri serta cuba menenangkan keadaan dengan memujuk suspek supaya memberi kerjasama," katanya.Bagaimanapun, Syed Basri berkata, suspek secara tiba-tiba bertindak agresif dan provokatif dengan meninggikan suara, memaki hamun serta membuat isyarat lucah dengan jari ke arah salah seorang anggota polis.Menurutnya, suspek turut membaling kad pengenalannya ke arah anggota terbabit selain meludah penjawat awam berkenaan sebanyak dua kali."Suspek juga meludah ke arah beberapa rakan sekerjanya yang berada di lokasi kejadian."Dalam kejadian sama, suspek turut mengeluarkan kata-kata yang menghina agama Islam," katanya.Tambah beliau, insiden itu telah dirakam oleh orang awam dan rakaman video berkenaan kemudiannya tular di platform media sosial TikTok.Syed Basri memaklumkan, suspek telah ditahan kira-kira jam 2.30 petang Rabu dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar pada 1 Januari 2026 bagi mendapatkan permohonan reman.Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah untuk menakutkan penjawat awam semasa menjalankan tugas.Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dengan sengaja mengeluarkan kata-kata yang boleh mendatangkan kemarahan atau menyinggung perasaan penganut agama lain dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan melalui perkataan atau isyarat tidak senonoh.