Wanita ancam terjun Jambatan Pulau Pinang berjaya diselamatkan

GEORGE TOWN – Seorang wanita yang membuat ancaman terjun ke laut di Jambatan Pulau Pinang dari arah pulau menghala ke Perai berjaya diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), di sini pada malam Rabu.Dalam kejadian kira-kira jam 8.50 malam itu, wanita berusia 37 tahun tersebut dipercayai bertindak sedemikian akibat tekanan emosi susulan pergaduhan dengan bekas suaminya.Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Shahrunnizam Kamar Bashah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.50 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak digerakkan ke lokasi kejadian."Ketika pasukan bomba tiba di lokasi, didapati benar terdapat seorang wanita berada di tepi jambatan yang sedang mengancam untuk terjun ke dalam laut."Wanita tersebut didapati menunggang motosikal jenis Honda RSX 150cc sebelum berhenti di tepi jambatan di Kilometer 7.4," katanya ketika dihubungi pada Khamis.Tambahnya, siasatan awal mendapati wanita itu mengalami masalah gangguan kesihatan mental dan berada dalam keadaan tertekan dipercayai akibat konflik keluarga."Mangsa mendakwa bergaduh dengan bekas suaminya yang tidak membenarkan dia berjumpa anak mereka."Wanita itu turut memaklumkan tinggal bersama anaknya di Sungai Nibong, namun bekas suami datang mengambil anak tersebut dan selepas itu tidak lagi membenarkan mangsa berjumpa anaknya," katanya.Shahrunnizam berkata, anggota bomba bertindak memujuk serta menenangkan mangsa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini sebelum berjaya membawanya ke tempat selamat."Ketika usaha memujuknya, wanita berkenaan memaklumkan dia sedang menerima rawatan psikiatri di Hospital Seberang Jaya dan bergantung dengan ubat."Bagaimanapun, setelah bergaduh dengan bekas suaminya, fikirannya semakin tidak terkawal. Mangsa yang berjaya dipujuk kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," ujarnya.Operasi yang melibatkan sebuah jentera Fire Rescue Tender serta Pasukan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan itu turut dibantu polis dan Polis Bantuan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.54 malam dan semua anggota serta jentera kembali ke balai masing-masing.