Bekas Setiausaha Politik Menteri Pengangkutan, bekas Ketua Pejuang sertai Pas

MELAKA - Bekas Setiausaha Politik Menteri Pengangkutan, Datuk Dahlan Maamor dan bekas Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan antara 56 individu yang menyerahkan borang keahlian Pas Melaka pada Rabu.Pesuruhjaya Pas Melaka, Zulkifli Ismail menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, penyerahan borang keahlian itu berlangsung pada Majlis Pelancaran Pusat Khidmat Muafakat Nasional (MN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal.Menurut beliau, majlis berkenaan berlangsung dalam suasana penuh semangat muafakat dan kebersamaan."Ia sekali gus mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuhkan agenda perpaduan politik di negeri ini."Alhamdulillah, majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Tan Sri Noh Omar selaku Timbalan Presiden MN; Pengerusi Perhubungan Bersatu Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik serta Pengerusi MN Melaka merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis."Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub," katanya.Zulkifli berkata, Pas Melaka menyambut baik penyertaan ahli-ahli baharu itu, termasuk Khairuddin dan Dahlan yang juga bekas pengulas sukan serta wartawan TV3.Dalam pada itu, beliau berharap penubuhan Pusat Khidmat MN menjadi wadah terbaik untuk memperkukuhkan perpaduan serta memperjuangkan kebajikan rakyat.Ujarnya, langkah itu juga diharap dapat memperkasa agenda Muafakat Nasional demi kesejahteraan ummah dan negeri Melaka.MN berdaftar sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan bukan parti politik, yang ahlinya terdiri daripada pelbagai kumpulan termasuk ahli politik daripada pelbagai parti serta golongan profesional.Kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu, namun terdapat juga penyertaan dalam kalangan bukan Melayu.Penubuhannya adalah bertujuan memberi perkhidmatan kepada rakyat tanpa mengira latar belakang parti dan kaum.