JOHOR BAHRU – Seorang akauntan berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM138,180 lesap akibat terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud dalam talian baru-baru ini.Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak, wanita berusia 60 tahun itu pada mulanya tertarik dengan skim berkenaan yang menawarkan pulangan keuntungan sebanyak 20 peratus dalam tempoh yang singkat."Oleh kerana tertarik dengan pulangan yang lumayan, pada 15/12/2025 hingga 22/12/2025, mangsa telah melakukan dua transaksi pembayaran ke dua akaun bank yang berbeza berjumlah keseluruhan rm138,180"Bagaimanapun, mangsa telah diarahkan untuk membuat pembayaran lagi untuk menuntut jumlah keuntungan yang diperoleh."Mangsa kemudiannya berasa tertipu kerana dalam tempoh pelaburan, mangsa tidak pernah menerima sebarang keuntungan daripada pelaburan tersebut tetapi mengalami kerugian berjumlah RM138,180 wang hasil simpanan mangsa sendiri." katanya.Tambah Mohd Sohaimi, kes disiasat di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan di mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih sepuluh tahun, dengan sebatan dan juga dikenakan denda.Katanya, polis turut menasihatkan orang awam agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang pelaburan yang menjanjikan pulangan wang tinggi."Orang awam juga diminta agar sentiasa berhati-hati dan melakukan semakan terhadap sebarang pelaburan yang ditawarkan sebelum membuat sebarang pembayaran."Jika terdapat sebarang peluang pelaburan yang meragukan, laporkan kepada pihak berkuasa dengan kadar segera."Pihak polis mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berikut untuk mengelak daripada menjadi mangsa penipuan pelaburan dan sekiranya tertarik dengan sesuatu tawaran yang menawarkan pulangan yang sukar dipercayai. ingatlah pepatah ‘all that glitters is not gold’," ujarnya.