SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengumumkan penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) bermula Khamis, sebagai kerangka perundangan baharu bagi meningkatkan keselamatan dalam talian serta memperkukuh perlindungan pengguna, khususnya kanak-kanak dan keluarga.MCMC dalam kenyataan media memaklumkan, ONSA menetapkan tanggungjawab serta kewajipan terhadap pemberi perkhidmatan berlesen untuk menangani kemudaratan dalam talian, termasuk keperluan melaksanakan langkah keselamatan berdasarkan tahap risiko, perlindungan khusus untuk kanak-kanak serta penyediaan mekanisme pelaporan dan bantuan kepada pengguna.Menurut kenyataan itu, ONSA terpakai kepada pemberi perkhidmatan yang memegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP), Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP) atau Pemberi Perkhidmatan Rangkaian (NSP) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), namun tidak terpakai terhadap pengguna individu.MCMC turut memaklumkan bahawa peruntukan ‘deeming’ di bawah Seksyen 46A, AKM 1998 akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.Berikutan penguatkuasaan itu, semua platform media sosial yang memenuhi kriteria pelesenan akan tertakluk kepada kerangka pelesenan sedia ada dan diwajibkan mematuhi undang-undang Malaysia, termasuk peruntukan di bawah ONSA.MCMC menjelaskan, langkah berkenaan adalah sebahagian daripada pendekatan kawal selia yang berstruktur dan berperingkat bagi memastikan platform dalam talian berskala besar yang beroperasi di Malaysia tertakluk kepada tahap pengawasan serta akauntabiliti yang bersesuaian.Seiring perkembangan pesat ekosistem dalam talian negara, MCMC menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan pemberi perkhidmatan, ibu bapa dan pendidik, agensi penguatkuasaan undang-undang, pertubuhan masyarakat sivil serta komuniti secara menyeluruh.Kerjasama itu, menurut MCMC, penting bagi menyokong persekitaran dalam talian yang lebih selamat untuk semua pengguna, khususnya kanak-kanak dan keluarga.Maklumat lanjut berkaitan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) boleh didapati menerusi laman sesawang rasmi MCMC.