'Muhyiddin berjiwa besar, ketepikan dendam peribadi demi perjuangan parti' - Noh Omar

SHAH ALAM - Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin disifatkan sebagai pemimpin berjiwa besar dan mengutamakan perjuangan parti berbanding kepentingan peribadi.Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Noh Omar berkata, sifat kepimpinan matang itu juga antara faktor yang mendorong kepada keputusan beliau untuk melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) pada Selasa."Saya lihat Tan Sri Muhyiddin sebagai pemimpin yang berjiwa besar dan tidak berdendam tetapi demi perjuangan parti, dia ketepikan kepentingan dendam peribadi."Sebab itu saya lihat beliau sanggup meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN kerana latar belakang beliau yang memang jujur dan berjiwa besar," katanya ditemui pada Majlis Pelancaran Pusat Khidmat NGO Muafakat Nasional (MN) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Durian Tunggal pada Rabu.Terdahulu, media melaporkan Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.Bekas Perdana Menteri itu turut melahirkan penghargaan kepada semua kepimpinan PN atas sokongan kepada beliau sepanjang memimpin gabungan terbabit.Ujar Noh, Muhyiddin juga antara individu yang memberi sokongan ketika mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mewakili UMNO sebagai Perdana Menteri."Sewaktu Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, yang menjatuhkan beliau ialah UMNO. 15 orang Ahli Parlimen UMNO ketika itu menarik sokongan terhadap Muhyiddin."Kalau Muhyiddin mementingkan diri sendiri sudah tentu beliau tidak sokong (wakil) UMNO menjadi Perdana Menteri," ujarnya.Menurut beliau, Muhyiddin yang lebih dikenali sebagai `Abah’ juga dilihat tidak menyimpan dendam terhadap mereka yang cuba beliau."Saya salah seorang daripada 15 Ahli Parlimen yang menjatuhkan Muhyiddin ketika itu."Kalau Muhyiddin seorang yang berdendam, sudah tentu beliau tidak melantik saya sebagai MPT Bersatu," katanya.