CYBERJAYA - Kerajaan melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) akan memperkasakan pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) sebagai hukuman tambahan terhadap individu yang didapati membuang sampah kecil di tempat awam dan jalan awam berkuat kuasa 1 Januari 2026.Pelaksanaan itu dibuat susulan pindaan undang-undang menerusi Rang Undang Undang Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Pindaan) 2025 yang memberi punca kuasa kepada mahkamah untuk menjatuhkan hukuman kerja amal sehingga 12 jam, sebagai usaha memupuk kesedaran sivik lebih mendalam dalam kalangan masyarakat.Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Khalid Mohamed berkata, pendekatan berkenaan menandakan peralihan dasar penguatkuasaan daripada hukuman berbentuk denda wang ringgit semata-mata kepada kaedah pendidikan berasaskan pengalaman sebenar.Menurutnya, walaupun denda boleh dibayar, pengalaman merasai sendiri kesukaran membersihkan sisa buangan orang lain dijangka memberi kesan psikologi yang lebih mendalam serta mewujudkan keinsafan agar pesalah tidak mengulangi perbuatan sama."PKM bukan bertujuan menghukum semata-mata, sebaliknya mendidik melalui pengalaman. Apabila seseorang terlibat secara langsung membersihkan persekitaran awam, kesedaran tentang kepentingan kebersihan akan terbentuk dengan lebih berkesan," ujarnya.Antara kesalahan ‘sampah kecil’ yang menjadi fokus penguatkuasaan termasuk pembuangan puntung rokok, tisu, plastik pembungkus makanan, tin minuman dan resit, khususnya di kawasan tumpuan pelancong, pusat bandar, laluan pejalan kaki serta lokasi awam berintensiti tinggi.Individu disabitkan kesalahan oleh mahkamah akan diwajibkan menjalani tugasan khidmat masyarakat seperti mengutip sisa pepejal di kawasan rekreasi dan laluan pejalan kaki, mencuci tandas awam, membersihkan longkang tersumbat, selain menyertai aktiviti gotong-royong pembersihan selepas acara rasmi negara.Sepanjang tempoh pelaksanaan hukuman, pesalah diwajibkan memakai vest khas pantulan cahaya.Selain bertujuan menjamin keselamatan, pemakaian vest berkenaan berfungsi sebagai penanda visual untuk mewujudkan rasa akauntabiliti serta membezakan identiti pesalah daripada pekerja pembersihan.Tempoh maksimum PKM ditetapkan sehingga 12 jam secara agregat, yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan, tertakluk kepada seliaan ketat pegawai penguat kuasa SWCorp.Pelaksanaan PKM ini melibatkan penyelarasan beberapa peruntukan undang undang utama, antaranya Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 [Akta 672] yang memperuntukkan kuasa kepada mahkamah mengenakan denda dan PKM tidak melebihi 12 jam.Ia turut melibatkan Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171] yang membolehkan pihak berkuasa tempatan memantau pelaksanaan PKM dengan pengenaan denda sehingga RM2,000. Selain itu, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 [Akta 133] serta Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611]. Hukuman khidmat masyarakat hanya boleh diperintahkan oleh mahkamah selepas pesalah disabitkan atas kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam atau di jalan awam. Di bawah pindaan akta yang berkaitan, mahkamah diberi kuasa untuk mengenakan perintah khidmat masyarakat sehingga 12 jam dalam tempoh enam bulan, sebagai tambahan kepada denda.PKM platform bermaruah Mengulas dakwaan kononnya PKM bertujuan menghina pesalah, Khalid menegaskan pelaksanaan inisiatif itu adalah berlandaskan prinsip transformasi sikap dan tanggungjawab sosial, bukannya penghinaan terbuka.Menurutnya, PKM merupakan platform bermaruah untuk pesalah ‘membayar balik’ kepada masyarakat atas kesilapan yang menjejaskan keselesaan dan kebersihan awam."Masyarakat perlu sedar bahawa sampah kecil seperti tisu atau resit, jika dibuang berterusan, secara kumulatif mampu menyumbat sistem perparitan dan menjadi punca banjir kilat."Kebersihan adalah tanggungjawab kolektif dan tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya di bahu pekerja pembersihan," ujarnya.Beliau berkata, SWCorp beraspirasi melahirkan masyarakat yang membudayakan amalan kebersihan secara kendiri tanpa bergantung sepenuhnya kepada tindakan punitif, selari dengan usaha meletakkan Malaysia sebagai antara negara terbersih di rantau ini, setanding dengan piawaian negara maju.Orang awam yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau menyalurkan aduan berkaitan kebersihan dan pengurusan sisa pepejal boleh menghubungi talian Indahkan Malaysia di 1800887472 atau melalui WhatsApp 013210 7472.