Tiada siapa kebal, akauntabiliti teras siasatan – MCW

SHAH ALAM – Prinsip akauntabiliti perlu ditegakkan tanpa sebarang pengecualian dan tiada mana-mana individu kebal daripada undang-undang susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Panglima Tentera Darat berkaitan isu perolehan dan pengurusan tender.Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pendirian itu selari dengan prinsip tadbir urus baik yang menuntut pertanggungjawaban semua pihak termasuk pemegang jawatan tertinggi negara."Masa sama MCW menegaskan bahawa setiap individu berhak kepada keadilan, proses sewajarnya serta anggapan tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya mengikut peruntukan undang-undang."MCW menyokong tindakan SPRM membuka kertas siasatan secara rasmi serta langkah pentadbiran merehatkan sementara Panglima Tentera Darat bagi memberi laluan kepada siasatan yang telus, bebas dan tanpa konflik kepentingan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Katanya, langkah berkenaan bukan satu bentuk hukuman sebaliknya amalan tadbir urus yang wajar bagi memastikan integriti institusi terpelihara serta siasatan dapat dijalankan secara profesional."Institusi keselamatan negara merupakan benteng strategik dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara."Sebarang dakwaan salah laku melibatkan kepimpinan tertinggi perlu ditangani secara berfakta dan berlandaskan undang-undang agar tidak menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap keseluruhan pasukan," katanya.Menurutnya, MCW menolak sebarang pendekatan sensasi, fitnah atau perbicaraan melalui media sosial yang boleh mencemarkan reputasi individu dan institusi sebelum siasatan diselesaikan."Isu berkenaan juga wajar dilihat dalam konteks lebih luas dan dijadikan pemangkin kepada pembaharuan sistemik terhadap tadbir urus perolehan pertahanan negara."Penambahbaikan perlu memberi tumpuan kepada ketelusan proses perolehan, pengukuhan mekanisme semak dan imbang dalaman, pemantauan bebas terhadap projek bernilai tinggi serta pencegahan konflik kepentingan dalam keputusan strategik," katanya.Jelasnya, bidang pertahanan melibatkan dana awam yang besar dan berisiko tinggi, justeru piawaian integriti perlu diletakkan pada tahap yang lebih ketat."Semua pihak termasuk ahli politik, aktivis, media dan masyarakat diminta agar menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan."Siasatan ini juga harus tidak dipolitikkan bagi mengelakkan kesimpulan awal yang boleh menjejaskan keadilan," katanya.Beliau menegaskan, MCW akan terus memantau perkembangan kes ini secara objektif dan konstruktif serta bersedia bersuara sekiranya wujud kelemahan sistem atau salah guna kuasa yang terbukti.Media pada 27 Disember lalu melaporkan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan akan bercuti berkuat kuasa serta-merta bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan tertentu yang dilaporkan sebelum ini.Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah pentadbiran itu diambil bagi memastikan proses siasatan dapat dijalankan dengan lancar tanpa sebarang konflik kepentingan.Sebelum ini media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan terhadap beberapa projek melibatkan Tentera Darat Malaysia (TDM) sejak 2023.Sumber itu memaklumkan fokus siasatan tertumpu kepada projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.