ALOR SETAR – Cadangan supaya Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilantik sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) satu idea menarik.Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahaya berkata, beliau bersetuju dengan cadangan tersebut yang kini mula dibincangkan oleh pelbagai pihak."1 Januari 2026 saya nampak banyak pihak cadang YAB Sanusi sebagai Pengerusi Perikatan Nasional."Cadangan yang menarik, saya setuju," katanya menerusi laman media sosialnya pada Khamis.Ahmad Yahaya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena mengulas cadangan itu susulan pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari 2026.Pada Selasa,media melaporkan Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu secara rasmi mengumumkan keputusan tersebut selepas lima tahun menerajui gabungan itu sejak penubuhannya.Bekas Perdana Menteri berkenaan memimpin PN sejak gabungan itu didaftarkan secara rasmi pada 7 Ogos 2020 dan memainkan peranan penting dalam membentuk hala tuju politik PN di peringkat nasional.Sebelum ini, wujud beberapa desakan daripada Pas agar jawatan Pengerusi PN diberikan kepada parti itu, termasuk gesaan terbuka oleh Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden.Dalam perkembangan sama, pergolakan politik di Perlis juga didakwa menghangatkan lagi hubungan Pas dan Bersatu yang dilaporkan telah tegang.Situasi tersebut menyaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang dari Pas, Mohd Shukri Ramli, meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Perlis, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pimpinan dan penyokong PN.