SKUAD futsal Selangor FC dilaporkan bakal membuat pelaburan besar bagi menghadapi saingan musim hadapan apabila dikhabarkan sedang memburu khidmat pemain pertahanan bertaraf dunia, Marlon Araujo.Desas-desus mengenai kehadiran pemain kebangsaan Brazil itu mula bertiup kencang di media sosial selepas peminat sukan tempatan menyedari satu butiran menarik pada hantaran rasmi skuad kebangsaan Brazil baru-baru ini.Menerusi perkongsian di laman Instagram rasmi pasukan Brazil, nama Marlon telah disenaraikan sebagai pemain yang mewakili kelab Selangor FC dalam satu poster rasmi skuad tersebut.Pemain yang beraksi di posisi 'fixo' atau pertahanan itu bukan calang-calang apabila beliau merupakan tonggak utama yang membantu Brazil menjuarai Piala Dunia Futsal 2024 yang berlangsung di Uzbekistan baru-baru ini.Selain reputasi gah di pentas antarabangsa, Marlon juga memiliki pengalaman luas di peringkat kelab dengan pernah beraksi bersama beberapa pasukan ternama, termasuk dalam liga kompetitif di Sepanyol.Tanda-tanda kehadiran bintang Samba itu ke kem Gergasi Merah semakin jelas apabila akaun Instagram rasmi Selangor FC juga dikesan sudah mula mengikuti (follow) akaun peribadi Marlon.Langkah berani merekrut pemain berprofil tinggi ini dilihat sebagai isyarat jelas kesungguhan Selangor FC untuk memecahkan dominasi Johor Darul Ta'zim (JDT).Walaupun Selangor FC berjaya menjuarai Piala Futsal Malaysia dan muncul naib juara Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) pada musim lalu, mereka masih perlu bekerja keras untuk menyaingi kehebatan JDT yang telah menjuarai MPFL dua kali berturut-turut.Sekiranya perpindahan ini menjadi kenyataan, kehadiran Marlon dijangka akan memperkemaskan benteng pertahanan Selangor FC, sekali gus menjanjikan saingan lebih sengit dalam arena futsal tempatan.