ALOR SETAR – Hanya Islam mampu menjadi penyelamat kepada negara dan dunia daripada belenggu kezaliman serta penindasan yang semakin berleluasa, tegas Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.Menurut beliau, sistem pemerintahan yang tidak berpaksikan ajaran Islam telah terbukti gagal membawa keadilan dan kesejahteraan kepada rakyat, malah membuka ruang kepada penguasaan pihak yang tidak menjadikan Islam sebagai asas dalam berpolitik."Yakinlah, Islam sahaja yang boleh selamatkan dunia ini. Selain daripada itu, kebanyakannya telah rosak dan mendedahkan manusia kepada kezaliman serta penindasan," katanya dalam kenyataan yang dipetik dari laman media sosial rasminya.Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, perjuangan Pas untuk mengambil alih semula kuasa pemerintahan negara perlu diteruskan dengan penuh kesungguhan bagi memastikan Islam kembali menjadi teras dalam sistem politik dan pentadbiran negara.Menurutnya, kerajaan yang tidak menjadikan Islam sebagai panduan utama dalam pentadbiran akan membuka ruang kepada campur tangan pihak luar."Pemimpin yang perintah tetapi tidak berpegang pada Islam, akhirnya mereka dikuasai orang lain yang tidak menjadikan Islam sebagai asas berpolitik," ujarnya.Sanusi menegaskan, Pas bukan sahaja memperjuangkan Islam untuk umatnya, malah turut menjamin keadilan dan hak kepada semua rakyat termasuk golongan bukan Islam.Beliau mengingatkan bahawa Islam melarang sebarang bentuk kezaliman dan diskriminasi, serta menuntut umatnya menghormati hak pihak lain selagi maruah Islam tidak dicabar."Kita ini mulia dan selamat dengan Islam. Hati kita bersih dengan Islam. Kita tidak menindas sesiapa, kita berlaku adil, tidak diskriminasi dan tidak menafikan hak mana-mana rakyat ketika menjadi kerajaan. Itu prinsip Islam," katanya lagi.Sanusi turut mengimbas sejarah kegemilangan Islam yang telah membawa keamanan, kemajuan dan ilmu pengetahuan kepada dunia sejak lebih 1,400 tahun lalu.Beliau menyatakan hasrat untuk mengembalikan kegemilangan itu melalui perjuangan politik Islam dan Pas ditubuhkan sebagai wadah untuk membawa politik Islam dalam kerangka demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan."Politik dan Islam tidak boleh dipisahkan. Pas ditubuhkan sebagai medium untuk mengangkat keyakinan bahawa Islam itu syumul dan lengkap sebagai sistem pemerintahan," katanya lagi.Sanusi turut memberi peringatan bahawa penghakisan kuasa politik umat Islam akan memberi kesan besar terhadap aspek lain termasuk ekonomi, sekiranya tidak ditangani dengan kesedaran dan keazaman bersama.