SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melaksanakan siasatan tatakelola bagi meneliti sebarang aspek ketidakpatuhan dan kelemahan yang wujud melibatkan proses perolehan ke atas tender Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang bernilai RM58.45 juta.Pengarah Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) SPRM, Datuk Mohd Zaki Hassan berkata, pihaknya telah membuka satu fail penyiasatan tatakelola berhubung kes ini."Buat masa ini siasatan kes masih dijalankan."Ini bagi mengenal pasti sekiranya wujud kelemahan atau ketidakpatuhan sebagaimana Laporan ketua Audit Negara (LKAN) pada 21 Julai lalu yang mendedahkan tiga daripada tujuh tender perolehan UKM keseluruhan berjumlah RM58.45 juta didapati tidak mematuhi prosedur perolehan yang ditetapkan," katanya kepada Sinar Harian.Sebelum ini pada November, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus dilaporkan berkata, pihaknya sudah memanggil lima individu untuk diambil keterangan berhubung perkara itu.Pada Julai lalu, LKAN dilaporkan mendedahkan, tiga daripada tujuh tender perolehan UKM berjumlah keseluruhan RM58.45 juta didapati tidak mematuhi prosedur perolehan yang ditetapkan.Laporan itu mendedahkan bahawa Jawatankuasa Perolehan Tender UKM telah memilih syarikat yang tidak disyorkan oleh Jawatankuasa Penilaian Teknikal, Jawatankuasa Penilaian Kewangan dan Jawatankuasa Pra-Tender.Menurut laporan LKAN itu, UKM juga didapati tidak melantik wakil Kementerian Kewangan (MoF) sebagai ahli Jawatankuasa Perolehan, manakala wakil Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang dilantik tidak hadir dalam mesyuarat berkaitan tiga tender berkenaan.