'Messi tidak sepatutnya bersara'

PENGENDALI Sepanyol, Luis de la Fuente menggesa Lionel Messi supaya tidak bersara ketika kapten Argentina itu masih mempertimbangkan sama ada untuk beraksi pada Piala Dunia 2026 atau sebaliknya.Walaupun penyerang Inter Miami itu belum membuat keputusan muktamad mengenai penyertaannya di Piala Dunia musim panas depan, De la Fuente menegaskan bahawa pemain berusia 38 tahun itu masih mampu menjadi pencetus perbezaan buat juara bertahan tersebut.Messi sebelum ini memainkan peranan penting membantu Argentina layak ke Piala Dunia di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat dengan meledak lapan gol, sekali gus memastikan skuad kendalian Lionel Scaloni itu menjuarai carta kelayakan zon Amerika Selatan.Bagaimanapun, pemenang lapan kali Ballon d'Or itu berulang kali menyuarakan keraguan mengenai penyertaannya pada kejohanan berprestij FIFA itu Jun depan, di mana Argentina bakal turun dengan misi mempertahankan gelaran yang dimenangi di Qatar pada 2022.Dalam satu temu bual bersama penerbitan Sepanyol, SPORT pada November lalu, Messi mengakui keterujaannya namun enggan menjadi liabiliti kepada pasukan."Ya, sudah tentu ia sangat mengujakan. Ia adalah Piala Dunia yang istimewa... tetapi saya tidak mahu menjadi beban."Saya mahu berasa cergas secara fizikal, yakin bahawa saya boleh membantu dan menyumbang kepada pasukan. Kita akan lihat bagaimana keadaan dari hari ke hari," ujar Messi.Namun, De la Fuente yang pasukannya kini menduduki ranking nombor satu dunia dan dianggap antara pilihan utama kejohanan, percaya Messi wajib berada di sana.De la Fuente menyifatkan Messi masih berada di kemuncak prestasi, terutamanya selepas membantu Inter Miami menjulang Piala MLS pada Disember lalu."Messi adalah salah seorang pemain yang tidak sepatutnya bersara. Sama seperti Cristiano Ronaldo. Mereka sangat hebat."Tidak kira apa jua prestasi Messi dalam Piala Dunia nanti, dia adalah jenis pemain yang boleh melakukan perbezaan hanya dengan satu perincian kecil."Oleh itu, saya menaruh rasa hormat dan kekaguman sepenuhnya terhadap karier Leo dan apa yang masih ada di hadapannya," kata De la Fuente kepada AS.Sepanyol yang mengintai peluang memenangi Piala Dunia kedua mereka telah diundi dalam Kumpulan H bersama Uruguay, Arab Saudi dan pasukan debutan, Cape Verde.