Kakak lemas, adik hilang dihanyutkan ombak

DUNGUN – Niat seorang adik untuk menyelamatkan kakaknya yang lemas bertukar tragedi apabila kedua-dua mereka dilaporkan hilang dibawa ombak ketika mandi di Pantai Sura Tengah, di sini pada Khamis.Dalam kejadian kira-kira jam 10.27 pagi, dua beradik berasal dari Kampung Paya Balai Besar di sini dipercayai lemas selepas dipukul ombak ketika berkelah bersama keluarga.Mayat mangsa, Nor Baizura Shafie, 39, ditemui kira-kira jam 10.54 pagi, manakala adiknya, Mohd Fazir Shafie, 37, masih belum ditemui sehingga kini.Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Penolong Kanan Penguasa Bomba Sharizal Samsuddin berkata, seramai 10 anggota bomba dikerahkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.Beliau berkata, pasukan penyelamat berjaya menemui seorang mangsa selepas kira-kira 25 minit pencarian dilakukan namun mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan"Operasi mencari dan menyelamat seorang lagi mangsa masih diteruskan menggunakan bot dan turut dibantu polis serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia," katanya.Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, sebelum kejadian, keluarga berkenaan yang terdiri daripada tujuh orang dewasa dan lapan kanak-kanak sedang berkelah di pantai tersebut.Jelas beliau, kejadian itu berlaku apabila kakak mangsa tiba-tiba lemas ketika mandi sebelum adiknya bertindak terjun ke laut untuk menyelamatkannya."Malangnya kedua-dua mereka dipercayai hanyut dibawa ombak."Mayat salah seorang mangsa iaitu Nor Baizura yang ditemui telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut," katanya.