Pasangan tunang maut dirempuh, diseret lori

TAWAU - Pasangan tunang maut selepas motosikal yang dinaiki terlibat dalam kemalangan membabitkan lori dan pacuan empat roda di Batu 16 Jalan Apas Balung, di sini pada petang Rabu.Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, Mohd Saddam Patah Lajasan, 21, dan tunangnya, Siti Nurfazlia Muslimin, 18, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, ketika kejadian sebuah lori dari arah Batu 3 Jalan Apas menghala ke Balung telah hilang kawalan selepas tayar hadapannya pecah."Akibat kejadian itu, lori terbabas ke kanan jalan dan merempuh pokok di pembahagi jalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal dinaiki kedua-dua mangsa."Lori tersebut kemudian menyeret motosikal bersama pasangan tersebut lalu melanggar bahagian hadapan pacuan empat roda dipandu seorang lelaki warga emas," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Jasmin berkata, pemandu lori hanya mengalami kecederaan ringan manakala pemandu kenderaan pacuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan."Hasil siasatan lanjut turut mendapati pemandu lori tidak memiliki lesen memandu yang sah dan ditahan bagi membantu siasatan."Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian," katanyaSementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Madzlan Sarman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.26 petang.Katanya, seramai tujuh anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 28 kilometer dari BBP Tawau."Menurut laporan, berlaku kemalangan jalan raya melibatkan tiga kenderaan iaitu lori lima tan, Toyota Hilux dan motosikal."Dua mangsa iaitu penunggang dan pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.Katanya lagi, dua lagi mangsa yang berada dalam lori tersepit dan telah dikeluarkan oleh orang awam."Kedua-duanya bersama pemandu pacuan empat roda mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut."Mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.Madzlan berkata, operasi ditamatkan pada jam 6.30 petang selepas memastikan lokasi selamat digunakan.