Penyelaras akan dilantik di tiga DUN kosong – MB Perlis

PADANG BESAR – Pejabat Menteri Besar Perlis akan melantik penyelaras bagi memastikan kebajikan rakyat di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terkesan susulan kekosongan luar jangka, terus terbela.Menurut Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah, pejabatnya akan melantik penyelaras bagi menguruskan pusat khidmat wakil rakyat di DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji, susulan pengosongan kerusi yang berlaku selepas keahlian tiga wakil rakyat Pas terhenti."Pentadbiran kawasan itu akan diurus takbir oleh pejabat Menteri Perlis di mana kita akan buka pusat khidmat di ketiga-tiga kawasan dan kita lantik penyelaras kawasan di situ."Kita tidak lari daripada Pentadbiran Perikatan Nasional maka apabila berlakunya pembukaan pusat khidmat di kawasan-kawasan itu maka kita akan merujuk juga kepada pimpinan Pas (kerana) itu kawasan kerusi mereka," katanya pada Khamis.Beliau berkata demikian mengulas keputusan DUN Perlis menarik balik pemakluman Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi tiga kerusi berkenaan selepas mengambil kira perkembangan semasa dan jaminan kerjasama politik di peringkat negeri.Walaupun tiada PRK, namun kekosongan luar jangka bagi ketiga-tiga kerusi berkenaan kekal berkuat kuasa sebagaimana surat bertarikh 29 Disember 2025.Dalam pada itu, Abu Bakar turut memaklumkan bahawa senarai calon Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan dikemukakan kepada Raja Perlis dalam masa terdekat bagi melengkapkan struktur pentadbiran negeri.Jelasnya, pentadbiran negeri tidak boleh terhenti dan perlu terus bergerak walaupun tanpa kehadiran wakil rakyat di tiga kawasan berkenaan."Saya jangkakan minggu depan, insya-Allah. Saya akan kemukakan senarai nama calon-calon Exco kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis untuk kita buat pelantikan."Buat masa ini, memang tiada pilihan yang membawa maksud di sini bahawa keempat-empat ADUN dari Bersatu akan diberikan tanggungjawab sebagai Exco sebab kita hendak bergerak dan tubuh kerajaan agak susah sikit jadi kita nak kena buat kerja selepas ini," ujarnya.