Jumlah mangsa banjir di Sarawak meningkat

KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir di Sarawak mencatatkan peningkatan mendadak pada Khamis petang manakala situasi di Melaka pulih sepenuhnya dan Johor merekodkan penurunan.Di SARAWAK, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 791 orang daripada 204 keluarga setakat 4 petang pada Khamis berbanding 348 orang.Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan mangsa terlibat dari beberapa kawasan sekitar bandar raya Kuching termasuk Taman Desa Wira, Kampung Sinar Budi Baru, Kampung Sungai Batu, Kampung Surih Iban, Taman Malihah dan Kampung Sejijak, dengan enam pusat pemindahan sementara (PPS) masih aktif.Sementara itu, di JOHOR, jumlah mangsa banjir di daerah Segamat berkurang kepada 136 orang daripada 37 keluarga berbanding 159 orang pada pagi tadi, dengan lima PPS masih beroperasi.Pengerusi JPBN Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata, PPS terbabit ialah Balai Raya Kampung Batu Badak, Dewan Serbaguna Kampung Tasek, Balai Raya Kampung Sanglang, Balai Raya Kuala Paya dan Dewan Serbaguna Kampung Tandong.Beliau berkata, dua sungai di Segamat masih melepasi paras bahaya, iaitu Sungai Muar di Buloh Kasap dengan bacaan 9.17 meter dan Jeti Sungai Tekam, 4.06 meter.Dua jalan pula ditutup sepenuhnya iaitu Jalan Felda Tenggaroh 3 di Mersing susulan kejadian cerun runtuh dan Jambatan Kesang-Sungai Rambai di Tangkak akibat jambatan rosak.Sementara itu di MELAKA, situasi banjir pulih sepenuhnya apabila PPS Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu di Jasin ditutup pada 2.03 petang hari ini selepas semua 36 mangsa daripada lapan keluarga dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing. - Bernama