SEREMBAN - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang disifatkan sebagai tokoh paling layak dan berwibawa untuk dilantik sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu.Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu(Bersatu) Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker berkata, dalam landskap politik semasa yang semakin mencabar dan tidak menentu, PN memerlukan seorang pengerusi yang memiliki autoriti moral kukuh, pengalaman politik yang luas serta keupayaan menyatukan parti-parti komponen secara berdisiplin dan berkesan.Menurutnya, Abdul Hadi memenuhi semua kriteria tersebut dan ia tidak boleh dipertikaikan."Dari sudut prinsip dan amalan politik yang sihat, jawatan Pengerusi PN wajar disandang oleh Presiden parti komponen yang memiliki mandat tertinggi dalam struktur parti masing-masing."Pelantikan individu selain daripada kalangan presiden bukan sahaja mencetuskan kekeliruan dari segi autoriti kepimpinan, malah berisiko melemahkan rantaian pentadbiran, menyukarkan penyelarasan gabungan serta menjejaskan keberkesanan pembuatan keputusan strategik," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Ujarnya lagi, Pengerusi PN juga mestilah seorang tokoh yang mempunyai penerimaan melangkaui batas kaum dan latar masyarakat, agar PN kekal sebagai gabungan nasional yang inklusif, stabil dan diyakini rakyat.Tambahnya, Abdul Hadi sebagai tokoh nasional yang dikenali, dihormati dan disegani menjadikan beliau aset penting kepada kekuatan serta kredibiliti PN."Saya juga merujuk kepada pendekatan kepimpinan dalam Pas yang berpaksikan prinsip figh bahawa selagi seseorang masih mampu memikul amanah, tanggungjawab tersebut wajar diteruskan demi maslahat yang lebih besar."Prinsip ini menegaskan bahawa keupayaan memimpin harus dinilai berdasarkan kebijaksanaan, pengalaman dan kebolehan membuat keputusan strategik, bukan semata-mata faktor lain yang bersifat periferal," katanya.Mohamad Hanifah berkata, dalam PN hari ini, hanya dua tokoh yang benar-benar memiliki legitimasi, pengalaman serta penerimaan menyeluruh untuk menerajui gabungan ini, iaitu Presiden Bersatu,Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Abdul Hadi.Justeru, beliau menyatakan sokongan terhadap pelantikan Abdul Hadi sebagai Pengerusi PN demi menjamin kejelasan kepimpinan, kestabilan gabungan serta kesiapsiagaan PN menghadapi cabaran politik dan pilihan raya akan datang."Memandangkan Tan Sri Muhyiddin telah melepaskan jawatan Pengerusi PN, maka Tuan Guru Abdul Hadi merupakan pilihan paling rasional, kukuh dan berwibawa bagi memastikan kesinambungan dan kestabilan kepimpinan PN terus terpelihara," katanya.