KUALA LUMPUR - Pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) merupakan langkah penting memastikan platform digital bertanggungjawab mengekang penyebaran kandungan berbahaya, kata Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.Menurutnya, ia juga bertujuan menutup ruang operasi jenayah siber serta memperkukuh tindakan terhadap eksploitasi kanak-kanak, penipuan dalam talian, penyalahgunaan indentiti dan kandungan ekstremisme."Berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), rakyat Malaysia menanggung kerugian sebanyak RM2.77 bilion akibat jenayah penipuan dalam talian bagi tempoh 2023 hingga November lalu."Dalam tempoh sejak 2021 hingga November lalu pula, kes eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian turut menunjukkan peningkatan membimbangkan dengan 688 kes, manakala kes berkaitan bahan eksploitasi seksual kanak-kanak (CSAM) merekodkan 351 kes sejak 2021 hingga Oktober lepas," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Mohd Khalid berkata, ONSA selaras dengan komitmen untuk melindungi rakyat dan memastikan mereka selamat dalam persekitaran siber masa hadapan.Tambahnya, PDRM akan terus bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), kementerian berkaitan serta penyedia platform digital melalui pendekatan whole-of -government bagi memastikan tindakan terhadap jenayah siber dilaksanakan dengan lebih pantas, tersusun dan berkesan."PDRM menyokong penuh pengumuman kerajaan berhubung pelaksanaan ONSA iaitu sebuah kerangka perundangan baharu yang memperkukuh keselamatan pengguna dan meningkatkan tanggungjawab platform digital dalam melindungi rakyat daripada ancaman siber."PDRM mengambil maklum bahawa ancaman jenayah dalam talian semakin serius dan memberi kesan langsung kepada kesejahteraan masyarakat," ujarnya.Susulan itu beliau berkata, PDRM akan terus komited memperkukuh kesiapsiagaan dalaman melalui peningkatan keupayaan pemantauan digital, penambahbaikan proses siasatan serta pengukuhan perkongsian maklumat strategik tanpa mendedahkan butiran operasi yang boleh menjejaskan keselamatan."PDRM yakin bahawa ONSA akan memperkukuh perlindungan kepada pengguna, meningkatkan integriti ruang digital negara serta memastikan keselamatan generasi masa hadapan dalam menghadapi landskap siber yang semakin kompleks," ujarnya.