Pemuisi anjur majlis puisi tanda penghormatan institusi Raja-Raja Melayu

SHAH ALAM - Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (Pemuisi) dengan kerjasama Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Jabatan Pemerkasaan Adiwangsa Universiti Teknologi Mara (UiTM) bakal menganjurkan Majlis Puisi Dirgahayu Tuanku pada 8 Januari ini.Bertempat di Hotel Wyndham Acmar Klang, majlis itu diadakan bertujuan menghormati institusi Raja-Raja Melayu dan mengabadikannya dalam bentuk persembahan puisi.Presiden Pemuisi, Datuk Dr Radzuan Ibrahim berkata, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman berkenan berangkat merasmikan majlis tersebut.Menurut beliau, buku berjudul Antologi Puisi Dirgahayu Tuanku terbitan Pemuisi juga akan dilancarkan oleh baginda."Buku ini merupakan himpunan suara hati rakyat yang bernaung di bawah payung Raja-Raja Melayu."Setiap bait di dalam buku ini lahir daripada rasa hormat, setia dan kasih yang berakar terhadap institusi Raja-Raja Melayu selaku tiang seri negara, pelindung adat serta penjaga maruah bangsa."Selain itu, majlis akan diisi dengan pelbagai persembahan menarik seperti bacaan puisi, syair, puisi artistik, monolog, lagu-lagu puisi, tarian dan silat," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Dianggarkan lebih 200 tetamu hadir ke acara berkenaan yang terdiri daripada pemuisi, sasterawan, pegawai kanan kerajaan dan swasta, pelajar universiti, peminat puisi serta orang awam.Antara yang mengambil bahagian ialah Pemuisi Sepanjang Hayat, Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr Awang Sariyan; Sasterawan Negara, Datuk Dr Zurinah Hassan; Penyanyi, Datuk Nash; Pengarah Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia (SDPAHM) ke-5, Dr Shafa'atussara Silahuddin dan ramai lagi.Radzuan memaklumkan, majlis sebegini julung kali diadakan Pemuisi dan selain persembahan, pihaknya turut menzahirkan rasa hormat dan junjung kasih dengan menerbitkan satu buku antologi puisi yang ditulis oleh 46 pemuisi termasuk sasterawan negara.Justeru, pihaknya mengundang semua peminat puisi tanah air untuk hadir memeriahkan majlis dan mendaftar di talian 012-211 8303 atau 012-648 9703."Tempat masih ada lagi, tetapi terhad jadi kami mengalu-alukan kehadiran semua."Saya harap mereka yang berminat segera mendaftar dengan menghubungi nombor tertera. Siapa cepat dia dapat dan jangan lepaskan peluang keemasan ini," ujar beliau.