Sanusi pilihan paling tepat sebagai Pengerusi PN baharu - Pemuda Pas Selangor

SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor menyatakan sokongan penuh dan terbuka terhadap pencalonan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) baharu bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah meletakkan jawatan.Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, sokongan itu dibuat berasaskan keperluan mendesak PN untuk melakukan pembaharuan kepimpinan selari dengan realiti politik semasa dan cabaran besar yang sedang dihadapi rakyat dan negara.Menurutnya, Sanusi dilihat sebagai pilihan paling tepat berikutan rekod kepimpinan dan pentadbiran beliau di Kedah yang membuktikan keupayaan mentadbir dengan berkesan."Beliau berani mempertahankan hak rakyat negeri dan konsisten menyuarakan tuntutan hak Kedah termasuk isu royalti air mentah walaupun berdepan tentangan pelbagai pihak termasuk kerajaan Pusat."PN memerlukan seorang pemimpin yang berani, tegas dan tidak sekadar beretorik," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.Mohamed Sukri berkata, selain lantang bersuara, Sanusi juga memiliki karektor tersendiri yang membolehkan beliau diterima pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan muda."Hubungan kukuh beliau dengan rakyat dan akar umbi khususnya anak muda memberi nilai tambah besar kepada imej PN dalam usaha menghadapi cabaran politik akan datang," ujar beliau.Beliau turut menegaskan, dalam suasana politik yang sarat tekanan, ugutan dan pendakwaan terpilih, Sanusi kekal teguh mempertahankan prinsip dan kebenaran walaupun berdepan pelbagai serangan politik serta persepsi."PN mendambakan seorang jurubicara pembangkang yang tegas, berani dan konsisten menegur kelemahan kerajaan demi kepentingan rakyat tanpa rasa gentar," tambahnya.Dalam pada itu, Mohamed Sukri menegaskan, sokongan terhadap Sanusi tidak bermakna Pemuda Pas Selangor menafikan jasa dan sumbangan Muhyiddin sepanjang menerajui PN."Namun, PN tidak boleh terus dibuai nostalgia, gabungan ini memerlukan kesinambungan kepimpinan lebih segar demi rakyat dan negara," katanya.Pada Selasa, media melaporkan Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu secara rasmi mengumumkan keputusan tersebut selepas lima tahun menerajui gabungan itu sejak penubuhannya.Bekas Perdana Menteri berkenaan memimpin PN sejak gabungan itu didaftarkan secara rasmi pada 7 Ogos 2020 dan memainkan peranan penting dalam membentuk hala tuju politik PN di peringkat nasional.Sebelum ini, wujud beberapa desakan daripada Pas agar jawatan Pengerusi PN diberikan kepada parti itu termasuk gesaan terbuka oleh Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden.