SHAH ALAM - Cadangan Pas menamakan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN dilihat amat tepat dan wajar.Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, Perlembagaan PN Fasal 8.3(b) memperuntukkan bahawa sekiranya Pengerusi meletakkan jawatannya, peletakan perlu berkuat kuasa selepas mendapat kelulusan MT yang akan memilih seorang pengerusi baharu secepat mungkin.Menurut Tun Faisal, cadangan Pas selari dengan prinsip hierarki kepimpinan parti berkenaan.Bagaimanapun, beliau berpendapat bahawa tidak sesuai untuk melantik Pengerusi PN dalam kalangan bukan Presiden, memandangkan individu tersebut bakal mempengerusikan mesyuarat dianggotai pemimpin utama parti komponen lain yang juga bertindak sebagai Timbalan Pengerusi PN."Lagipun Presiden merupakan individu yang memegang mandat tertinggi dalam struktur parti masing-masing."Saya tidak pasti mengenai struktur dalaman Pas, namun kebiasaannya dalam kebanyakan parti politik, kuasa eksekutif tertinggi terletak pada Presiden."Oleh itu, melantik Pengerusi PN dalam kalangan Timbalan, Naib Presiden atau pihak luar berpotensi menimbulkan kekeliruan dari sudut mandat ahli, bidang kuasa serta kuasa membuat keputusan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Sinar Harian melaporkan, Bersatu Kelantan tidak menolak kemungkinan Abdul Hadi bakal dilantik menjadi Pengerusi PN baharu, menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan berkuat kuasa hari ini.Pengerusinya, Datuk Kamaruddin Md Noor memaklumkan, pihaknya mengambil kira status Pas dan Bersatu selaku dua parti besar dalam gabungan berkenaan.Malah, kata beliau, sebelum ini Muhyiddin pernah menawarkan jawatan berkenaan kepada Abdul Hadi, namun ditolak ahli Parlimen Marang itu.Mengulas lanjut, kata Tun Faisal, Timbalan, Naib Presiden serta wakil parti komponen yang menjadi anggota MT PN tetap memiliki peranan penting berdasarkan jawatan disandang dalam gabungan.Tambah beliau, tanpa memegang jawatan Pengerusi sekalipun, kesemuanya masih boleh menyumbang secara signifikan kepada keberkesanan PN."Namun demikian, komitmen tinggi amat diperlukan termasuk kewajiban untuk hadir setiap mesyuarat MT PN, menetapkan sasaran KPI yang jelas serta melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan bersungguh-sungguh."Sekiranya setiap anggota MT PN berperanan secara komited, Insya-ALLAH PN menjadi semakin kuat pada masa hadapan," ujarnya lagi.