SHAH ALAM - Pendedahan korupsi melibatkan perolehan projek dan tender Tentera Darat Malaysia (TDM) mendapat perhatian dunia sekaligus menjejaskan imej negara.Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard berkata, ia memberi kesan dari segi penghormatan dan persepsi dunia terhadap Malaysia khususnya dari segi pertahanan negara itu sendiri."Bagaimanapun dari sudut jangka panjang, ia menunjukkan ketegasan rakyat dalam melawan isu rasuah dan korupsi."Kita berani mendedahkan dan terus menentang isu berkaitan salah laku. Jadi, dunia akan melihat dari segi nilai baik tahap kesedaran masyarakat itu sendiri," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.Sebelum ini, media melaporkan Chegubard membuat laporan polis terhadap seorang pegawai kanan ATM berhubung dakwaan berkaitan isu pengubahan wang haram.Kementerian Pertahanan (Mindef) pada Sabtu pula memaklumkan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan bercuti berkuat kuasa serta-merta bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan dikaitkan dengan dirinya.Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah pentadbiran itu diambil bagi memastikan proses siasatan dapat dijalankan dengan lancar tanpa sebarang konflik kepentingan.Ujar Chegubard, tindakan diambil Mindef itu juga memberi persepsi positif kepada keyakinan pelabur luar negara dan masyarakat antarabangsa."Ia menunjukkan bahawa sistem dan masyarakat kita berfungsi, serta mampu memainkan peranan dalam menegakkan integriti," ujarnya.Kata beliau, kontroversi berhubung isu berkenaan merupakan satu cabaran besar kepada pasukan pertahanan negara, khususnya TDM.Dalam perkembangan lain, Chegubard berharap pelantikan baharu Leftenan Jeneral Datuk Azhan Md Othman sebagai Panglima Tentera Darat ke-31 dapat membawa kepada perubahan kepada institusi pertahanan negara.Pelantikan berkenaan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026, menggantikan Muhammad Hafizuddeain yang sebelum ini diarahkan bercuti."TDM merupakan antara tonggak utama pertahanan negara. Isu ini bukan sekadar melibatkan organisasi, tetapi menyentuh soal kedaulatan, keselamatan negara dan yang paling penting, kebajikan anggota serta pegawai bawahan."Pengorbanan mereka bukan sedikit. Nyawa dipertaruhkan, namun kebajikan mungkin terabai akibat penguasaan kartel dan amalan rasuah yang berlaku," kata beliau.