Op Ambang Tahun Baharu: 51 individu ditahan, 12,437 saman dikeluarkan

KUALA LUMPUR - Op Ambang Tahun Baharu 2026 yang dijalankan di seluruh negara merekodkan 51 tangkapan individu, 12,437 saman lalu lintas dengan 390 kenderaan disita.Operasi dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), konsesi lebuh raya serta pihak berkuasa tempatan.Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, operasi dijalankan bermula jam 9 malam, Rabu hingga 2 pagi (Khamis).Menurutnya, operasi bagi memastikan keselamatan, ketenteraman awam serta kelancaran trafik sempena sambutan ambang tahun baharu."Sebanyak 240 lokasi penugasan seperti sekatan jalan raya, rondaan pencegahan dan penugasan statik di kawasan tumpuan orang ramai seperti pusat bandar, kawasan rekreasi dan laluan utama dilaksanakan."Polis turut menahan 25 individu untuk tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, 20 orang di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, Kanun Keseksaan (3 orang) dan tiga lagi lain-lain akta," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Beliau berkata, PDRM merakamkan penghargaan kepada masyarakat di atas kerjasama yang diberikan.Tambahnya, orang ramai dinasihatkan agar terus mematuhi peraturan jalan raya."Utamakan keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain dan tidak memandu secara berbahaya," ujarnya.