Kerajaan digesa segerakan reformasi institusi

SHAH ALAM – Malaysia mempunyai kurang daripada 24 bulan sebelum tamat penggal Parlimen ke-15 pada Disember 2027 untuk melaksanakan sebarang reformasi institusi.Menurut kenyataan bersama yang disokong 64 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kegagalan melaksanakan reformasi boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap parti dan pemimpin yang sedang berkuasa.Selain itu katanya, ia juga boleh membebankan kerajaan akan datang apabila mereka menghadapi tekanan awam untuk meneruskan agenda reformasi."Reformasi sering menjadi sasaran ketakutan yang sengaja dibangkitkan, malah pemangsaan etnoagama sehingga banyak reformasi ditinggalkan atau dikendurkan walhal penyelesaian menang-menang boleh dicapai."Dalam era media sosial hari ini, perundingan tertutup secara berasingan antara kerajaan dan pihak berkepentingan tidak lagi mencukupi untuk melindungi usaha reformasi daripada serangan populis dan sinis, termasuk dari luar negara."Sebarang langkah menarik balik reformasi di bawah tekanan hanya akan melemahkan kewibawaan kerajaan, malah mungkin ‘mengebumikan’ reformasi tersebut selama beberapa dekad," kata kenyataan tersebut pada Khamis.Sehubungan itu, kerajaan digesa mengorak langkah berani pada tahun 2026 dengan melibatkan masyarakat secara terbuka serta menggalakkan dialog antara penyokong, penentang dan pihak berkecuali.Jelasnya, bagi reformasi yang masih belum mencapai kesepakatan nasional, kerajaan disarankan memanfaatkan instrumen perbincangan awam dan rentas parti melalui Kertas Hijau, Kertas Putih serta Jawatankuasa Pilihan Parlimen."Antara reformasi yang dicadangkan untuk dibincangkan melalui Jawatankuasa Pilihan Parlimen termasuk had penggal 10 tahun bagi jawatan Perdana Menteri, reformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta pembaharuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)."Sementara itu, Kertas Putih dicadangkan bagi reformasi pemisahan jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya selain penggubalan Akta Pembiayaan Politik yang merangkumi elemen pembiayaan awam."Bagi isu yang masih memerlukan perbincangan awal, Kertas Hijau disaran meliputi kemudahan pengundian tidak hadir, penambahan kerusi Parlimen, pengagihan Dana Pembangunan Kawasan secara saksama, sasaran 30 peratus perwakilan wanita, serta tadbir urus pilihan raya di Wilayah Persekutuan," katanya.Kenyataan itu turut merakamkan penghargaan terhadap beberapa reformasi institusi dan perundangan yang telah dilaksanakan sejak November 2022.Antaranya ialah Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang berkuat kuasa 4 Julai 2023; Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (1 Januari 2024) serta Akta Majlis Media Malaysia 2025 (14 Jun 2025).