'Saya dan Akmal Saleh tidak pernah bermusuhan' - Nurulhidayah

SHAH ALAM - Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid menjelaskan bahawa hubungannya dengan Ketua Pemuda parti, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh tidak pernah bersifat peribadi apatah lagi bermusuhan.Nurulhidayah berkata, sebaliknya ia sekadar teguran berlandaskan keprihatinan 'seorang kakak menasihati adik' demi kebaikan dan perjuangan parti yang dicintai."Malangnya semalam, Datuk Dr Akmal telah mengulas satu kenyataan di laman Facebook beliau yang terdapat konteks sebenar dipetik daripada 'sumber', lalu dibentuk naratif seolah-olah wujud konflik, pergeseran atau perbalahan, ia perbuatan tidak bertanggungjawab."Ini bukan sahaja tidak adil, malah mencerminkan budaya penulisan yang mengejar sensasi, bukannya kebenaran. Perbezaan pandangan itu lumrah, tetapi memutar belit niat dan fakta adalah kezaliman wacana."Saya yakin Datuk Dr Akmal sendiri memahami bahawa dalam perjuangan, kita perlukan kejujuran bukannya gema sorakan semata-mata. Kita perlukan keberanian untuk menegur sesama sendiri, bukan membiarkan pihak luar menentukan naratif kita," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.Beliau berkata demikian sambil memuat naik gambar pertemuan dengan Dr Muhamad Akmal di majlis resepsi anak Ketua Menteri Melaka.Pada Rabu, portal media tempatan membuat permohonan maaf atas ralat menyebut Dr Muhamad Akmal sebagai individu yang mengeluarkan kenyataan membidas Nurulhidayah, sedangkan ia hantaran dimuat naik pengguna media sosial, kemudiannya dikongsikan Ketua Pemuda UMNO itu di laman Facebooknya.Terdahulu, Nurulhidayah dilaporkan menegur Dr Muhamad Akmal susulan kelantangannya dalam menyentuh hala tuju parti.Beliau memberikan respons sedemikian berikutan desakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu supaya UMNO menilai semula kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan selain mencadangkan agar Muafakat Nasional (MN) dihidupkan semula.Mengakui kelantangan ditunjukkan Dr Muhamad Akmal itu wajar dengan mengambil kira kedudukannya sebagai Ketua Pemuda UMNO, namun Nurulhidayah dalam masa sama mengingatkan bahawa soal parti bukan milik pihak tertentu.