Dua beradik nyaris lemas ketika beriadah di pantai

KOTA TINGGI - Dua beradik yang hampir lemas ketika melakukan aktiviti air di Pantai Batu Layar di sini berjaya diselamatkan pada Khamis.Menurut Komander Operasi, dari Balai Bomba dan Penyelamat Punggai, Penguasa Bomba Kanan 1, Shahrizan Selamat, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai perkara tersebut pada jam 2.41 petang.Katanya, sebaik menerima panggilan tersebut satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dengan enam anggota dihantar ke lokasi sejauh empat kilometer (km)."Sebaik tiba di lokasi pada jam 2.46 petang, didapati dua mangsa hampir lemas ketika melakukan aktiviti pantai."Seorang mangsa berjaya diselamatkan orang awam sementara seorang lagi mangsa diselamatkan anggota bomba dengan jarak 100 meter dari pantai."Kedua-dua mangsa kemudiannya dihantar ke klinik berhampiran dengan menaiki kenderaan awam," katanya.Mangsa merupakan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dan adiknya, budak lelaki berusia 8 tahun.Kejadian berlaku ketika kedua-duanya dipercayai sedang beriadah di pantai berkenaan bersama keluarga.Tambah Shahrizan, keadaan berjaya dikawal pada jam 2.50 petang."Setelah menyaksikan keadaan terkawal, operasi kemudiannya ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.37 petang," katanya.