Pas disaran sertai Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik negara

SHAH ALAM - Pas disaran mengambil langkah matang dan bertanggungjawab dengan menyertai Kerajaan Perpaduan susulan kemelut hubungan yang semakin terbuka antara parti itu dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Muhammad Iman Haziq berkata, perkembangan berkenaan menimbulkan kebimbangan.Beliau berkata, masa depan negara tidak seharusnya dipertaruhkan kepada gabungan politik yang rapuh dan dibelenggu rasa saling mencurigai."Bersatu bukanlah parti yang asing daripada episod pengkhianatan politik apabila sejarah mencatatkan Langkah Sheraton yang menafikan mandat rakyat dan kini situasi hampir sama dilihat berulang menerusi apa yang disifatkannya sebagai "Langkah Perlis"."Cubaan menggambarkan perkara ini sebagai isu kecil hanya mendedahkan politik sempit yang lebih didorong ketamakan kuasa berbanding semangat setiakawan dalam gabungan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.Katanya, ketika negara amat memerlukan kestabilan politik, pandangan Pemuda Pas Selangor yang menggesa supaya hubungan dengan Bersatu diputuskan wajar diberi perhatian serius."Dalam keadaan ini, sudah tiba masanya Pas mempertimbangkan langkah yang lebih matang dan bertanggungjawab dengan menyertai Kerajaan Perpaduan."Kerajaan sedia ada menawarkan kestabilan jangka panjang serta tenaga politik yang mampu dimanfaatkan demi kepentingan rakyat, bukannya terus terjebak dalam pertelingkahan dalaman sesama sendiri," katanya.Menurutnya, langkah berkenaan tidak seharusnya dilihat dari sudut menang atau kalah dalam percaturan politik."Sebaliknya langkah ini mencerminkan Pas sebagai sebuah parti berjiwa besar sejajar dengan kematangannya yang kini hampir 75 tahun."Sudah tiba masanya Pas meletakkan agenda rakyat sebagai keutamaan, mengatasi agenda kuasa peribadi," katanya.Media sebelum ini melaporkan Pemuda Pas Selangor berpandangan sudah tiba masanya Pas melakukan penilaian menyeluruh dan berani terhadap hubungan politik bersama Bersatu.Tindakan itu perlu dilakukan dalam kerangka Perikatan Nasional (PN) demi maslahat perjuangan parti serta kepentingan rakyat.Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berpandangan, sayap Pemuda Pas Selangor menegaskan, penilaian itu bukan didorong oleh emosi atau kepentingan sempit, sebaliknya berasaskan realiti politik semasa serta pertimbangan jangka panjang perjuangan parti.Beliau berkata, prestasi Bersatu dalam beberapa siri pilihan raya kebelakangan tersebut menunjukkan kemerosotan sokongan rakyat, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu apabila banyak kawasan parti berkenaan dilihat bergantung kepada kekuatan Pas untuk kelangsungan politik.Ujar beliau, namun tuntutan kerusi dan pengaruh sering kali tidak seimbang dengan sumbangan sebenar, keadaan ini bercanggah dengan semangat keadilan dan keikhlasan dalam konsep tahaluf siyasi.Menurutnya, Pemuda Pas Selangor turut berpandangan, pendakwaan dan siasatan terhadap pimpinan utama Bersatu memberi kesan negatif kepada keseluruhan gabungan PN, walaupun Pas tidak terlibat secara langsung dalam isu berkenaan.