SHAH ALAM - Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC bakal bersidang masa terdekat bagi menentukan hala tuju masa depan parti agar strategi yang digariskan kekal relevan dengan keperluan semasa komuniti.Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan berkata, pihaknya akan terus berkhidmat dengan penuh tanggungjawab dan integriti.Menurut Ahli Parlimen Tapah itu, fokus parti adalah memberikan manfaat yang nyata serta melaksanakan tanggungjawab buat rakyat."MIC merupakan suara perpaduan masyarakat India dan kekal teguh dengan komitmennya terhadap kemajuan serta kesejahteraan komuniti ini."Misi parti ini melangkaui pelantikan politik. Dengan atau tanpa jawatan dalam kerajaan, MIC akan terus berkhidmat kepada masyarakat India dengan ikhlas," katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Batu Caves pada Khamis.Mengambil kira cabaran semasa, Saravanan mengajak semua masyarakat India di negara ini supaya terus bersatu dan melangkah ke hadapan."Saya minta masyarakat India agar kekal bersatu dan komited terhadap kemajuan. Perpaduan adalah kunci kejayaan kita bersama," ujarnya.Terdahulu, Saravanan menegaskan bahawa MIC masih lagi komponen Barisan Nasional (BN) kerana pihaknya belum memuktamadkan sebarang keputusan berhubung kerjasama dengan parti lain.MIC ketika Perhimpunan Agung Tahunan ke-79 2025 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pada November lalu menyerahkan tiga usul kepada CWC untuk membuat keputusan.Antara lain kesediaan untuk menamatkan penyertaan dalam BN, menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pimpinan parti serta membincangkan kedudukan dan masa depan MIC dalam lanskap politik di negara ini.MIC turut berbincang untuk memohon menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN).