Kegembiraan mandi-manda bertukar tragedi, juruteknik dikhuatiri lemas

RAUB - Kegembiraan sebuah keluarga beriadah di Pusat Rekreasi Jeram Besu, Sega di sini bertukar tragedi apabila seorang juruteknik kilang dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras pada Khamis.Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, mangsa, Mohamat Firdarus Jamaidi, 25, dipercayai turun ke kawasan jeram kira-kira jam 12.45 tengah hari untuk mandi.Menurutnya, isteri mangsa yang berada di lokasi kejadian bersama penduduk setempat berusaha mencari mangsa, namun gagal menemui beliau."Susulan itu, satu laporan polis dibuat pada jam 2.16 petang dan pasukan keselamatan digerakkan ke lokasi bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR)."Operasi tersebut melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK)," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.47 petang.Jelas beliau, berdasarkan laporan, mangsa dikhuatiri berada di bawah arus ketika mandi di pusat rekreasi tersebut.Mohd Salahuddin memaklumkan, setibanya pasukan di lokasi, operasi mencari dijalankan menggunakan bot Whaly, dibantu anggota polis, APM, PBS Kuala Gali serta penduduk kampung kira-kira jam 3.24 petang."Pasukan selam dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Angin turut dikerahkan bagi meningkatkan keberkesanan operasi pencarian."Sehingga kini, mangsa masih belum ditemui dan usaha mencari akan diteruskan," jelasnya.