Anggota polis cedera ketika bertugas SJR Ambang Tahun Baharu

GEORGE TOWN – Seorang anggota polis terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika bertugas di sekatan jalan raya (SJR) dalam Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah sempena Ambang Tahun Baharu 2026 di Jalan Bukit Gambir, Gelugor, awal pagi Khamis.Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Myvi dan sebuah motosikal jenis Yamaha yang ditunggang seorang lelaki warga asing berusia 31 tahun.Menurutnya, siasatan awal mendapati penunggang motosikal berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang kereta Myvi yang sedang diperiksa oleh anggota polis di SJR berkenaan."Akibat daripada pelanggaran tersebut menyebabkan motosikal terbabit melanggar papan tanda SJR sebelum terpelanting dan mengenai kaki kiri anggota polis lelaki berusia 37 tahun yang sedang bertugas ketika itu."Pemandu kereta Myvi, lelaki tempatan berusia 28 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan."Bagaimanapun, penunggang motosikal dan anggota polis terbabit mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat.