SHAH ALAM - Kerajaan digesa memastikan proses pelantikan pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dibuat secara telus, berintegriti dan bebas daripada sebarang unsur rasuah bagi mengembalikan kepercayaan orang ramai terhadap pasukan keselamatan negara.Pereka grafik, Aiman Syafiq Mohd Ariff, 32, berkata, jawatan tertinggi dalam ATM bukan sekadar simbol hierarki atau tradisi ketenteraan, sebaliknya mesej penting mengenai hala tuju keselamatan negara."Dalam situasi keselamatan negara masa kini, rakyat mahu lihat kepimpinan ATM yang benar-benar fokus kepada kecekapan dan tadbir urus yang bersih."Sempena tahun baharu, kerajaan perlu memastikan pelantikan pegawai tertinggi ATM dibuat berdasarkan keupayaan sebenar, bukan pengaruh atau kepentingan."Kepercayaan rakyat terhadap pasukan keselamatan hari ini bukan lagi bergantung kepada pangkat atau gelaran tetapi kepada ketelusan, keberanian membuat keputusan dan kesediaan memikul tanggungjawab apabila berlaku kelemahan," katanya kepada Sinar Harian.Pekerja swasta, Nik Nazihah Nik Ahmad Khan, 30, berkata, kerajaan harus memastikan proses pelantikan membabitkan pegawai kanan ATM dilaksanakan secara teliti dan berintegriti."Langkah itu bukan sahaja untuk menjamin keselamatan negara tetapi bagi memulihkan dan mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap pasukan keselamatan."Bila kita tengok pasukan keselamatan kita terdiri daripada anggota yang betul-betul layak, baru kita rasa yakin kepada kekuatan ATM," ujarnya.Dalam pada itu, pekerja swasta, Intan Nor Sazwani Che Ahmad, 31, berkata, pelantikan jawatan tersebut memikul amanah dan tanggungjawab yang sangat besar, bukan sahaja kepada pasukan di bawah kepimpinan mereka, malah kepada rakyat serta negara."Jawatan ini menuntut tahap integriti yang sangat tinggi kerana setiap keputusan dibuat memberi kesan langsung kepada keselamatan negara," katanya.