SWCorp keluarkan 42 notis kesalahan buang sampah menerusi Ops Cegah

SHAH ALAM - Sebanyak 42 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) dikeluarkan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) kepada individu dikesan membuang, menempatkan atau meninggalkan sisa di tempat awam.SWCorp dalam satu kenyataan memaklumkan, notis dikeluarkan menerusi Ops Cegah besar-besaran di 11 lokasi tumpuan di negeri yang menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) bermula 12.01 tengah malam Rabu.Menurut perbadanan itu, denda maksimum sehingga RM2,000 terpakai bagi kesalahan membuang sampah kecil."Daripada jumlah ini, 24 kes melibatkan warga tempatan manakala 18 kes adalah warga asing dengan 40 dewasa dan dua kes membabitkan kanak-kanak."Semua pesalah disiasat dan dihadapkan ke mahkamah untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa."Pelaksanaan Ops Cegah menekankan ketegasan SWCorp dalam memastikan kebersihan awam terjamin melalui penguatkuasaan yang tegas, bersepadu dan berkesan," menurut kenyataan itu pada Khamis.Tambah SWCorp, selain denda maksimum, mahkamah juga boleh mengenakan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) sebagai hukuman tambahan bagi tempoh tidak melebihi enam bulan, melibatkan jumlah kerja tidak melebihi 12 jam dengan had maksimum empat jam sehari.Katanya, pelaksanaan PKM ini bertujuan mendidik dan membentuk kesedaran sivik agar pesalah lebih cakna, bertanggungjawab dan menginsafi kepentingan menjaga kebersihan persekitaran, sekali gus mengurangkan kecenderungan pengulangan kesalahan.Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Khalid Mohamed menegaskan, operasi dilaksanakan pihaknya bukan sekadar inisiatif bermusim sempena Tahun Baharu, sebaliknya akan diteruskan secara konsisten melalui pemantauan berterusan di peringkat negeri dan cawangannya."Ops Cegah sempena Ambang Tahun Baharu 2026 telah ditamatkan jam 3 pagi dan operasi susulan diteruskan pada pagi ini (Khamis) bagi memastikan kebersihan kawasan awam sentiasa berada pada tahap optimum," katanya.Ujarnya, operasi berkenaan melibatkan mobilisasi penguat kuasa seluruh negeri, pengurusan tertinggi SWCorp, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta 330 kakitangan syarikat konsesi bertanggungjawab memastikan kawasan terlibat kembali bersih.Beliau dalam masa sama turut mengingatkan masyarakat agar membuang sampah ke dalam tong yang disediakan, mematuhi undang-undang dan menjadikan kebersihan sebagai budaya hidup memandangkan kebersihan bandar ialah tanggungjawab bersama."Orang awam boleh menyalurkan aduan kepada SWCorp menerusi talian WhatsApp 013-210 7472 atau Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) SWCorp di swcorp.spab.gov.my," katanya.