Sikap jujur punca Liverpool dinafikan penalti

PENGENDALI Liverpool, Arne Slot menyuarakan rasa tidak puas hati selepas mendakwa pasukannya dinafikan sepakan penalti yang jelas dalam aksi Liga Perdana Inggeris menentang Leeds United di Anfield yang berakhir tanpa jaringan.Menurut Slot, keputusan itu berpunca daripada sikap pemain Liverpool yang terlalu 'jujur' apabila tidak menjatuhkan badan apabila dikasari.Insiden berkenaan berlaku pada separuh masa pertama apabila penyerang Liverpool, Hugo Ekitike berjaya melepasi pertahanan sebelum dikasari pemain Leeds, Jaka Bijol.Namun, Ekitike memilih untuk terus berdiri dan melorongkan bola kepada Florian Wirtz, namun percubaan pemain itu disekat James Justin.Walaupun Ekitike mengangkat tangan meminta penalti, pengadil Chris Kavanagh mengarahkan permainan diteruskan.Slot menyifatkan keputusan itu sebagai antara margin kecil yang memberi kesan besar kepada keputusan perlawanan."Terdapat satu detik yang sangat jelas pada separuh masa pertama di mana kami tidak menjatuhkan badan. Saya faham mengapa, kerana setiap kali kami berbuat demikian (jatuh), kami tidak pernah mendapat penalti," kata Slot kepada Sky Sports sejurus tamat perlawanan.Menurutnya, keputusan itu memberi kesan besar dalam perlawanan yang menyaksikan Liverpool gagal menembusi benteng kental Leeds walaupun menguasai permainan dengan 19 percubaan berbanding empat oleh pasukan pelawat."Itulah perbezaannya (margin). Saya melihat pasukan lain mudah menjatuhkan badan dalam situasi sebegitu, tetapi kami tidak melakukannya."Malah, kami pernah menjatuhkan badan apabila dikasari berkali-kali pada musim ini, namun tetap tidak mendapat penalti."Secara umumnya kami ada berbincang mengenainya dan melihat pemain lain mudah jatuh untuk mendapatkan sepakan percuma, tetapi inilah identiti kami (bermain secara jujur)," jelasnya.Slot turut memberi contoh insiden terdahulu menentang West Ham melibatkan Lucas Paqueta dan penjaga golnya, Alisson Becker bagi menggambarkan bagaimana pasukannya sentiasa cuba bermain secara adil namun sering tidak mendapat keadilan yang sewajarnya.