KPKT peruntuk RM40 juta turap 800 jalan PBT di Perak

IPOH – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan sebanyak RM40 juta bagi kerja-kerja penurapan semula hampir 800 jalan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri Perak.Menterinya, Nga Kor Ming berkata, peruntukan itu melibatkan tambahan RM20 juta yang diumumkan sempena lawatan kerja beliau ke Bandar Baru Medan Ipoh, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan khas KPKT kepada Perak berjumlah RM40 juta.Menurutnya, dengan anggaran kos kira-kira RM50,000 bagi setiap jalan di kawasan perumahan, peruntukan berkenaan mampu menurap semula hampir 800 jalan PBT di seluruh negeri."Ini berita baik bukan sahaja kepada warga Ipoh, tetapi kepada seluruh rakyat negeri Perak. KPKT diberi amanah menjaga jalan-jalan PBT dan kawasan perumahan."Semua ini akan siap sebelum Hari Raya Aidilfitri. Kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 20 Mac, maka 800 jalan itu wajib siap. Kerja-kerja boleh bermula hari ini juga," katanya kepada pemberita.Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Bandar Baru Medan Ipoh, di sini pada Jumaat.Hadir sama, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandra Ng; Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Canning, Jenny Choi dan Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah.Kor Ming berkata, peruntukan berkenaan merupakan yang terbesar pernah disalurkan bagi kerja penurapan jalan perumahan di negeri itu dan mencerminkan komitmen Kerajaan Madani dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat.Mengulas agihan peruntukan, beliau menjelaskan, Majlis Perbandaran Manjung menerima RM5 juta, Majlis Perbandaran Teluk Intan RM3.08 juta dan Majlis Perbandaran Taiping RM3.1 juta manakala selebihnya akan diagihkan kepada majlis daerah dan PBT lain di Perak.Menurutnya, hampir semua PBT di Perak akan menerima manfaat daripada peruntukan khas tersebut hasil penjimatan yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerajaan Tempatan.Dalam pada itu, beliau memaklumkan, kerja penurapan semula semua jalan di kawasan Bandar Baru Medan Ipoh yang melibatkan jarak kira-kira 3.2 kilometer telah siap sepenuhnya dengan kos hampir RM1.9 juta hasil kerjasama KPKT dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).