JOHOR BAHRU - Seramai 32 individu beragama Islam ditahan atas kesalahan minum minuman keras pada malam sambutan Tahun Baharu 2026, pada Rabu.Menurut Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), kesemua individu tersebut ditangkap dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di sekitar Johor Bahru, kira-kira jam 3.10 pagi."Individu yang ditangkap ini adalah 25 lelaki dan tujuh wanita yang berusia 18 hingga 45 tahun. Dari jumlah tersebut, 26 adalah warga tempatan dan enam warga Singapura."Kebanyakan yang ditangkap itu datang dari negeri dan daerah lain yang datang bercuti di Johor Bahru. Individu yang ditangkap kali ini tidak membabitkan penjawat awam dan tiada dalam kalangan pelajar."Semasa penguat kuasa JAINJ datang periksa, kesemua pelanggan berada di kerusi menghadap arak di atas meja masing-masing," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.JAINJ memaklumkan, semasa serbuan, penguat kuasa JAINJ telah mengawal semua laluan keluar masuk pusat hiburan itu bagi mengelakkan sebarang cubaan melarikan diri, sekali gus membolehkan operasi dijalankan dengan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini."Kesemua individu ditahan akan didakwa di bawah Seksyen 19 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor kerana meminum minuman memabukkan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan."Mereka kemudiannya dibawa menggunakan lori penguat kuasa ke Pejabat JAINJ untuk tindakan lanjut," katanya.Jelasnya, penguat kuasa JAINJ akan terus menjalankan operasi penguatkuasaan secara berkala dan mengejut di pusat hiburan sekitar negeri ini bagi membendung aktiviti yang melanggar undang-undang syariah.