MARANG – Hubungan antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih berada dalam keadaan baik sekali gus membuka ruang untuk menghidupkan kembali Muafakat Nasional (MN) sebagai wadah penyatuan politik Melayu dan Islam.Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, hubungan baik itu bukan sahaja bersama Bersatu malah turut melibatkan UMNO selaras dengan hasrat menyatukan orang Melayu Islam serta bukan Islam yang tidak ekstrem."Hubungan dengan Bersatu baik, dengan UMNO pun masih baik. Ya, insyaALLAH kita nak satukan orang Melayu, orang Islam dan nak satukan orang bukan Islam yang tak ekstrem," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, di sini pada Jumaat.Abdul Hadi sebelum itu diminta mengulas perkembangan terkini MN susulan cadangan supaya Perikatan Nasional (PN) dibubarkan dan MN diwujudkan semula berikutan perkembangan politik mutakhir di Perlis.Cadangan tersebut sebelum ini disuarakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang berpandangan PN wajar dibubarkan dan MN dihidupkan semula.Menurut Muhamad Akmal, situasi di Perlis menggambarkan keperluan untuk kembali kepada kerangka kerjasama politik yang lebih jelas dan berasaskan penyatuan Melayu serta Islam.Saranan Muhamad Akmal itu turut disambut Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang menegaskan MN boleh dilancarkan terus sebaik sahaja UMNNO dan BN mengisytihar keluar daripada Kerajaan Perpaduan.Bagaimanapun, saranan berkenaan turut mengundang pelbagai reaksi apabila ada pihak melihatnya sebagai berpotensi menjadi 'perangkap samar' kepada blok pembangkang sekiranya tidak diperhalusi secara menyeluruh.Pengerusi MN Jasin, Khairuddin Abu Hassan berkata, cadangan tersebut menimbulkan persoalan sama ada ia dibuat secara ikhlas demi penyatuan ummah atau sekadar bertujuan memenuhi kepentingan politik tertentu.Beliau menegaskan, sebarang usaha menghidupkan semula MN perlu berlandaskan kejujuran, keikhlasan serta mengambil kira realiti semasa politik negara agar tidak menjejaskan kestabilan gabungan pembangkang.Untuk rekod, pergolakan politik di Perlis berlaku berikutan dakwaan wujudnya tindakan 'tikam belakang' apabila lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis terdiri daripada Pas dan Bersatu dikatakan menandatangani akuan bersumpah (SD) menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar ketika itu, Mohd Shukri Ramli