JOHOR BAHRU - Enam rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Majistret Johor Bahru, atas pertuduhan merusuh menggunakan senjata hingga menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki di Taman Mount Austin, Johor Bahru, Disember lalu.Tertuduh, Choy Soon Chye, 41; Soh Say Shin, 36; Soo Toh Siang, 30; Calvin Phua Khim Hau, 29; Yap See Hong, 26, dan Tan Shen Qi, 21, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.Mengikut kertas pertuduhan, keenam-enam tertuduh dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Low Chun Yong, 28, menggunakan senjata yang boleh menyebabkan kematian seperti sebilah pisau pemotong daging, pistol pegun (taser gun), kerusi plastik dan batang besi.Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di hadapan restoran Taman Mount Austin, Johor Bahru, pada jam 3.30 pagi, 27 Disember lalu.Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Mohamad Afdhallan Syafiq Azmy manakala lima tertuduh diwakili peguam, T. Haresh dan seorang diwakili Amarpreet Singh Rajwinder Singh.Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 setiap seorang tertuduh dengan seorang penjamin warga Malaysia selain menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan melapor diri sebulan sekali tanpa gagal di balai polis berhampiran.Sementara itu, keenam-enam tertuduh turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, atas kesalahan mengambil bahagian dalam rusuhan dan memiliki pisau serta kerusi plastik, iaitu senjata yang boleh digunakan untuk menyerang di lokasi, masa dan tarikh sama.Kesemua tertuduh membuat pengakuan berkenaan setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Afdhallan Syafiq Azmy dan Siti Aishah Latif.Manakala, lima tertuduh diwakili peguam T. Haressh dan seorang lagi iaitu Calvin Phua Kim Hau, diwakili peguam Amarpreet Singh Rajwinder Singh.Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM3,500 bagi setiap seorang tertuduh beserta syarat tambahan, tiga penjamin bagi setiap seorang, melapor diri di pejabat polis berdekatan dan menyerahkan passport kepada mahkamah.Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 3 Februari 2026 bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen.