KOTA TINGGI - Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO masih belum dimaklumkan berkenaan sebarang cadangan kerjasama UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) seperti yang disuarakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerjasama antara UMNO dan Pas menerusi MN setakat ini merupakan pandangan peribadi Muhamad Akmal."Pucuk pimpinan tidak membincangkan perkara itu (MN) sehingga kini. Itu pandangan dia."Pandangan individu ataupun mungkin pandangan kebanyakan pemuda tetapi parti bergerak atas sokongan dan keputusan bersama oleh pelbagai peringkat. Tak ada (perbincangan). Kita belum mesyuarat lagi," katanya.Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Komuniti Kampung Malam Di Dewan Terbuka Pangkalan Kota, di sini pada Jumaat.Pada 25 Disember lalu, Muhamad Akmal mencadangkan supaya Perikatan Nasional (PN) dibubarkan dan MN dihidupkan semula susulan polemik politik di Perlis.Malah, katanya, usaha supaya memperkasakan MN dan bukannya PN itu sudah dibangkitkan sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).Sebelum ini, MN yang piagamnya ditandatangani pada 14 September 2019 antara UMNO dan Pas boleh dianggap berkubur apabila Pas memuktamadkan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PN bagi menghadapi PRU-15.Keputusan Pas itu sekali gus melanggar syarat yang ditetapkan oleh UMNO, iaitu parti tersebut perlu meninggalkan Bersatu jika mereka mahu kekal bekerjasama dalam MN.