KOTA TINGGI - Kementerian Pertahanan mengegaskan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk rasuah atau salah guna kuasa dalam kalangan pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementerian sentiasa memandang serius setiap aduan dan laporan yang diterima, khususnya membabitkan salah laku integriti dalam organisasi pertahanan negara.Bagaimanapun, terdapat juga aduan yang bersifat tuduhan tanpa disertakan bukti kukuh sekali gus berpotensi menjejaskan kredibiliti serta nama baik ATM sekiranya dibiarkan berlarutan."Kita tidak memaafkan apa-apa unsur rasuah penyalahgunaan kuasa yang berlaku terutamanya dalam Kementerian Pertahanan."Dari masa ke masa memang kita terima aduan dan sebagainya. Akhir-akhir ini aduan itu berserta dengan pelbagai bukti yang mungkin tak dapat nak dinafi atau disangkal."Tetapi ada juga aduan-aduan yang bersifat sebagai satu tuduhan yang tidak ada bukti. Yang baru-baru ini pun saya lihat yang dikeluarkan itu sesuatu tuduhan yang sebenarnya tidak disertakan dengan bukti. Kalau ini berlarutan memang akan menjejaskan kredibiliti dan nama baik ATM," katanya.Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama komuniti Kampung Makam di sini pada Jumaat.Ahli Parlimen Kota Tinggi itu menambah, pengisytiharan harta pegawai tertinggi ATM sudah dilaksanakan melalui mekanisme dalaman yang teratur di peringkat jabatan masing-masing."Setiap pelantikan, kita memang akan dapatkan maklumat dan input daripada agensi-agensi dan jabatan-jabatan tertentu. Termasuklah SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan sebagainya."Jadi dari situ memang kita akan tahu harta-harta yang ada dan sebagainya. Untuk urusan dalaman, bukan diisytihar kepada umum," katanya.Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, pihak yang terjejas dengan tuduhan tanpa bukti terbabit akan mengambil tindakan perundangan yang sesuai jika terbukti tuduhan-tuduhan itu bersifat fitnah."Tentunya saya sebagai menteri yang bertanggungjawab akan pastikan tindakan-tindakan sesuai yang perlu dilakukan supaya fitnah ataupun persepsi negatif ini dapat dihalang supaya tidak menjejaskan nama baik ATM," katanya.Sebelum ini, media melaporkan Chegubard membuat laporan polis terhadap seorang pegawai kanan ATM berhubung dakwaan berkaitan isu pengubahan wang haram.Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, 22 Disember lalu dengan Chegubard turut mendakwa memiliki laporan forensik kewangan membabitkan akaun peribadi individu itu.Beliau juga membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu.Susulan itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.Pada Selasa, pegawai SPRM telah hadir ke Mindef dan tumpuan terarah kepada projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab Tentera Darat.Siasatan SPRM mendapati dari 2023 hingga 2025, perolehan Tentera Darat yang melebihi RM500,000 adalah sebanyak 158 projek manakala bagi perolehan di bawah RM500,000 pula membabitkan 4,521 projek.Semakan awal mendapati ada beberapa syarikat yang kerap memperoleh projek dengan nilai tinggi dan perkara itu agak meragukan.Setakat 24 Disember, SPRM telah merakam keterangan tiga individu bagi membantu siasatan berhubung perolehan projek Tentera Darat.