Dicemuh ‘tak sekolah’ sejak kecil, tujuh beradik akhirnya miliki MyKad

RAWANG – Tujuh beradik yang sejak kecil terpaksa menelan cemuhan dan hinaan masyarakat kerana tidak bersekolah akibat ketiadaan dokumen pengenalan diri menarik nafas lega apabila akhirnya menerima kad pengenalan masing-masing daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).Nur Hakika Ismail, 23, berkata, kad pengenalan yang diterima ibarat memberi ‘sinar’ baharu kepadanya dan enam lagi adik-beradik, Ahmad Shahmil,30; Muhammad Fazril, 29; Nur Hakimah, 26; Nur Laila, 21; Nur Shakila, 19, dan Zakaria, 17."Sekurang-kurangnya dua adik saya yang masih berusia belasan tahun bolehlah kejar impian mereka untuk bersekolah secara formal kerana kami dari kecil memang selalu dicemuh kerana tak bersekolah selain orang perlekehkan juga asal-usul mak dan ayah kami."Walaupun kami telah lali dengan hinaan itu tetapi jauh disudut hati memang kami sangat-sangat mengharapkan masalah ini segera selesai sebab kami nak kerja pun tak diterima majikan kerana tak ada kad pengenalan. Tapi akhirnya ALLAH makbulkan doa-doa kami," katanya sebak.Nur Hakika bersama adik-beradiknya menerima MyKad yang disampaikan Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias di rumah mereka di Kampung Sungai Buaya di sini pada Jumaat.Apa yang menyedihkan Nur Hakiki dan adik-beradiknya sebelum ini mengenal huruf dan pandai membaca serta mengira dengan belajar secara sendiri selain terpaksa mendampingi rakan-rakan sebaya untuk menceduk ilmu.Kata Nur Hakiki, mereka juga merujuk buku, televisyen dan media sosial untuk mengasah lagi kemahiran membaca."Yang penting, dengan dapatnya MyKad ini saya bolehlah daftarkan perkahwinan saya dan dapatkan surat beranak serta MyKid anak saya yang berusia setahun tiga bulan," ujarnya yang mendirikan rumah tangga pada tahun 2021.Nur Hakiki tujuh beradik tidak memiliki MyKad kerana bapanya yang berasal dari Sabah dan ibunya yang berasal dari Medan, Indonesia tidak mendaftarkan perkahwinan dan tidak mendaftarkan kelahiran semua anak mereka.Menyedari kesulitan kerana ketiadaan MyKad itu, suami Nur Hakiki, Sallehuddin Ahmad, 59, membantu membawa kesemua tujuh beradik tersebut mengemukakan permohonan untuk membuat dokumen pengenalan diri pada 2023 sebelum usaha berkenaan mendapat perhatian Badrul Hisham sendiri pada 23 Disember lalu.Sementara itu, Badrul Hisham berkata, selepas beliau dimaklumkan mengenai kes itu, siasatan segera dilakukan sebelum mendapati ketujuh-tujuh beradik tersebut juga tidak mempunyai sijil kelahiran."Lepas dapat maklumat saya minta mereka hadir ke pejabat jadi dari situ kita buat semakan melalui bahagian kelahiran dan kematian JPN. Kita juga buat siasatan untuk pastikan mereka anak yang sah kepada ibu bapa mereka."Kita turut lakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk sahkan pertalian anak-anak dengan kedua ibu dan bapa mereka. Memandangkan kes ini berlaku disebabkan perkahwinan yang tidak didaftarkan dan si bapa pula meninggal dunia pada tahun 2023, timbul sedikit kesukaran untuk buat ujian DNA."Jadi kita terpaksa pergi kepada waris bapa yang paling dekat iaitu bapa saudara, kita ambil sampel bapa saudara mereka. Itu prosedur kita dan alhamdulillah hasil ujian membuktikan adanya ikatan antara keluarga. Perkahwinan ibu dan bapa yang didaftar semula juga telah disahkan oleh mahkamah," katanya.Menurutnya, adik-beradik itu sebelum ini juga telah menerima sijil kelahiran masing-masing pada 8 Disember lalu.Justeru, Badrul Hisham menasihatkan orang ramai supaya mendaftarkan kelahiran anak-anak walaupun ia melibatkan ibu bapa warga asing yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah."Kepada orang asing yang berkahwin dengan rakyat Malaysia dan berada di negara ini juga perlu mendaftarkan kelahiran. Apabila semua masyarakat cakna, mengambil berat tentang pendaftaran kelahiran, isu-isu kad pengenalan mungkin tidak akan berlaku."Tambahan pula pada hari ini banyak inisiatif kerajaan kepada rakyat memerlukan kepada kad pengenalan contohnya Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Budi Madani RON95 (BUDI95). Jadi kalau tak ada kad pengenalan, bukan sahaja tak dapat nak kerja malah tak dapat rasai keistimewaan yang disediakan kerajaan," jelasnya.