SHAH ALAM – Muafakat sebenar dalam landskap politik negara hanya dapat dicapai sekiranya UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Islam Se-Malaysia (Pas) digabungkan dalam satu saf yang sama.Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan menyifatkan langkah Pemuda UMNO menganjurkan satu konvensyen khas sebagai tindakan berani, sambil berpandangan ramai penyokong UMNO sebenarnya tidak selesa berada dalam kerajaan yang didominasi oleh Pakatan Harapan (PH).Menurut Wan Saiful, situasi itu mengulangi pengalaman Bersatu ketika menyertai PH selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), apabila perbezaan ideologi yang ketara memaksa semua pihak pada ketika itu hanya menyuarakan perkara positif bagi menutup masalah sebenar dalam kerajaan PH 1.0."Namun, akhirnya Bersatu membuat keputusan yang berani dan betul untuk keluar daripada PH," katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook pada Jumaat.Beliau berkata, jajaran politik yang lebih selesa dan serasi dari segi ideologi adalah apabila UMNO, Bersatu dan Pas berada dalam satu gabungan, memandangkan terdapat banyak persamaan asas antara ketiga-tiga parti berkenaan.Wan Saiful turut mengingatkan bahawa Bersatu pernah bersetuju untuk menyertai Muafakat Nasional (MN), termasuk menerima jemputan rasmi yang ditandatangani oleh Presiden UMNO dan Presiden Pas bagi menyertai gabungan itu.Sehubungan itu, beliau menegaskan semangat muafakat berkenaan perlu dihidupkan semula bagi membentuk satu payung besar parti-parti politik konservatif yang berteraskan falsafah kanan pertengahan."Nama gabungan itu tidak menjadi isu sama ada Muafakat Nasional, Payung Besar, Perikatan Nasional atau apa jua sekali pun. Yang penting, semangatnya adalah sama," katanya sambil berharap agenda berkenaan dapat direalisasikan.Dalam masa yang sama, Wan Saiful mengingatkan semua pihak agar berhati-hati terhadap suara-suara yang cuba memecahkan Bersatu dan Pas dengan mengajak kedua-dua parti meninggalkan Perikatan Nasional (PN).Beliau mendakwa wujud kelompok ‘trojan horse’ berideologi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Bersatu yang akan mendapat manfaat sekiranya berlaku perpecahan, selain didakwa sedang mencetuskan ketegangan dan mencipta ‘garis merah’ yang tidak munasabah bagi merenggangkan hubungan antara Bersatu dan Pas.Menurutnya, Pas juga perlu menangani suara-suara dalaman yang menginginkan perpecahan atau mahu meninggalkan PN kerana kegagalan mana-mana satu daripada tiga parti utama itu untuk bersama akan menyebabkan muafakat sebenar masih belum tercapai.