Elak guna ejen proses pendaftaran permit bazar Ramadan - PM

PETALING JAYA - [KEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat menyarankan agar pihak berkuasa tempatan (PBT) mengelakkan penggunaan ejen atau orang tengah dalam proses pendaftaran permit perniagaan bazar Ramadan. Sebaliknya, beliau mencadangkan agar PBT mencontohi Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang melaksanakan pendaftaran bazar Ramadan secara dalam talian sekali gus meningkatkan ketelusan dan mengurangkan beban kos kepada peniaga. Anwar berkata, kaedah pendaftaran dalam talian bukan sahaja lebih teratur, malah mampu mengekang amalan pihak tertentu yang mengambil kesempatan dengan mengenakan bayaran tambahan demi keuntungan peribadi. "Bazar Ramadan ini kesempatan rakyat terutamanya di peringkat bawah untuk menjalankan perniagaan mencari nafkah tambahan... jadi, PBT sepatutnya memberi kerjasama supaya proses lebih teratur dan elak daripada orang yang mengangkat komisen. "Kita lawan (rasuah) di peringkat atas tetapi di bawah ini masih lagi berkecamuk… saya tengok dari segi kertas yang pernah dibentangkan kepada kami mengenai pengalaman (Majlis Bandaraya) Petaling Jaya, itu perlu dijadikan contoh, pendaftaran dalam talian dan buka sebanyak mungkin," katanya. Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jumhuriah, Taman Dato Harun di sini bersama kira-kira 2,000 jemaah.Anwar turut mengarahkan PBT supaya menyediakan kemudahan yang bersih dan selesa sepanjang bulan Ramadan. Perdana Menteri berkata, sekiranya PBT dan kerajaan negeri dapat memberikan kerjasama yang baik, beliau akan berbincang dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming untuk menambah baik kemudahan asas termasuk bekalan air serta aspek kebersihan khususnya di kawasan bazar Ramadan. Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai agar sentiasa menjaga kebersihan susulan pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) bagi kesalahan membuang sampah kecil, yang berkuat kuasa pada Khamis. "Jadi, kalau membuang sampah, tindakan akan diambil termasuk pendakwaan dan denda," katanya. Umat Islam di Malaysia dijangka menyambut 1 Ramadan yang menandakan permulaan ibadah berpuasa selama sebulan pada 19 Februari ini. - Bernama